Bekas ADUN UMNO mengaku tidak bersalah dalam pengubahan wang haram RM10 juta

Bekas Pengerusi MARA Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) Datuk Mohammad Lan Allani hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM10 juta.

Mohammad Lan, 66, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabaya dan bekas bendahari UMNO bahagian Semporna membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, menurut laporan Bernama.

Mohammad Lan didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan wang RM3 juta daripada akaun Private Banking Portfolio CIMB Bank miliknya ke akaun simpanan tetap CIMB Bank Berhad juga miliknya di CIMB Bank, Jalan Sagunting Central Building di sini pada 10 Dis 2012.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memindahkan wang RM7 juta ke dalam akaun miliknya di tempat dan hari yang sama.

Mohammad Lan didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar menetapkan wang jaminan RM100,000 dan 30 Jun untuk tarikh sebutan semula kes, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai sementara tertuduh diwakili peguam Luke Ressa Balang.

Pada 10 Jan lepas, Mohammad Lan dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan itu.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai, memohon supaya Mohammad Lan dilepaskan tanpa dibebaskan berikutan dia akan didakwa semula terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen di sini.

Sementara itu di mahkamah sama, bekas Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah Abel Ongkunik, 50, mengaku tidak bersalah atas 29 pertuduhan rasuah dilakukannya di beberapa bank di sini antara 2017 hingga 2018, melibatkan jumlah RM1.29 juta.

Mengikut pertuduhan, Abel secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan yang berhubung dengan hal ehwal prinsipal, iaitu meluluskan lesen kerja-kerja bagi tujuan perkhidmatan penundaan kapal kepada beberapa syarikat di negeri itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Hakim Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 29 April depan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F. Mirchelle Sambatan manakala tertuduh diwakili peguam P.J Perira.

BERITA BERKAIT
POPULAR