Bekalan makanan cukup ketika Ramadan

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah melawat pusat jualan ikan di Tanjung Che Mas, Tumpat, hari ini. - Gambar FB

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan makanan seperti ikan, ayam dan daging, yang menjadi permintaan tinggi berada pada tahap mencukupi dan stabil, bagi keperluan sepanjang Ramadan.

Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, MAFI juga telah membuat persiapan awal bagi memastikan semua barangan adalah mencukupi, untuk memenuhi permintaan.

Beliau berkata, selain pengeluaran negara, kerajaan turut mengimport bahan makanan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Setiap kali Ramadan termasuk musim perayaan sebelum ini, kita sentiasa membuat pengukuran tentang permintaan sebenar berbanding stok yang ada. Jadi kita beri jaminan bekalan makanan akan mencukupi dan juga stabil,” katanya di Tumpat, hari ini.

Mengenai peningkatan harga makanan haiwan yang naik mendadak, Ahmad berkata, perkara itu berlaku disebabkan bahan berkenaan diimport dari luar negara.

“Bagaimanapun, kita minta kalau boleh jangan sampai ia mengakibatkan harga jualan terus meningkat, memandangkan kita sentiasa membuat pemantauan.

“Malah, kita juga turut mengadakan pertemuan dengan pengeluar-pengeluar makanan, terutama ayam dan telur susulan rungutan yang diterima, namun mereka memberi jaminan tidak akan mengambil apa-apa tindakan yang boleh menjejaskan harga makanan,” katanya.