
Lembah Klang bakal berdepan isu bekalan air sekiranya kemarau berlaku - yang dijangka pada 2025.
Lembah Klang bakal berdepan isu bekalan air sekiranya kemarau berlaku – yang dijangka pada 2025 – kerana bekalan hanya mampu bertahan untuk tempoh lapan bulan sahaja.
Bekalan air biasanya diperoleh melalui tiga kaedah iaitu menerusi empangan, kolam takungan dan air bawah tanah yang masing-masing boleh menampung penggunaan selama dua hingga empat bulan.
Menurut Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari, berdasarkan tiga kaedah itu, ia mampu menyediakan bekalan air sebanyak 5,000 juta liter sehari yang bersamaan dengan jumlah pengeluaran semasa, lapor Bernama.
“Kita perlukan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak supaya terus menjaga kualiti air dengan mengelakkan sebarang insiden pencemaran,” katanya kepada pemberita pada majlis Hi-Tea bersama pengamal media di I-City hari ini.
Hasrolnizam juga berkata pembenihan awan adalah kaedah terakhir yang akan digunakan oleh pihaknya.
Beliau berkata Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Ogos depan namun ia tertakluk kepada kerajaan negeri.
“Kos atau bayaran bagi ZDP ini masih dalam sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta kilang manakala bayaran yang dikenakan akan diguna semula bagi tujuan pemuliharaan persekitaran termasuk sungai, parit dan muara,” katanya.