Bekalan 12 juta dos akan merancakkan vaksinasi kepada rakyat

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin meninjau program pelaksanaann vaksinasi di PPV.

Negara bakal menerima bekalan 12 juta dos pada bulan ini dan ia akan merancakkan pemberian vaksinasi yang dijalankan bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menteri Penyelaras program itu berkata lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka, ia termasuk di rumah ibadat, sekolah, universiti, dewan komuniti, tempat kerja, kawasan perladangan dan restoran, selain menggunakan pendekatan pandu lalu.

“Tetapi bagi Julai ini sahaja, kita bakal menerima bekalan vaksin lebih 12 juta dos. Sudah pasti Julai akan menjadi tempoh yang genting buat PICK apabila kapasiti pemberian vaksin ditingkatkan di seluruh negara.

“Bagi memastikan cabaran pada bulan-bulan mendatang dilalui dengan teratur dan lancar, kapasiti vaksinasi di seluruh negara akan ditingkatkan dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya dalam satu video yang dimuat naik dalam akaun Twitternya.

Ketika ini, sebanyak 1,400 PPV sedang beroperasi di seluruh negara, selain PPV dalam pelbagai bentuk serta saiz, termasuk secara sementara di perkampungan Orang Asli.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata usaha giat juga sedang dilakukan bagi memastikan tempahan vaksin CanSino oleh Malaysia berupaya dihantar pada bulan ini.

Selain selamat dan berkesan, katanya, pelalian satu dos itu amat penting dalam memudahkan lagi usaha vaksinasi kepada masyarakat, terutama yang tinggal di pedalaman serta menghadapi kesukaran penghubungan.

Menyentuh perkembangan Pelan Pemulihan Negara, Khairy berkata usaha memberikan suntikan vaksin kepada 300,000 pekerja sektor pembuatan pengangkutan, pembinaan dan perladangan akan dipergiatkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Selain itu, katanya, Malaysia sentiasa memantau dan meneliti data keberkesanan vaksin, khususnya dalam keadaan penularan varian Delta B1617.2 dan yang lain.

“Seperti mana negara lain, kita juga sedang mengkaji sekiranya wujud keperluan untuk memberikan suntikan tambahan atau dos penggalak.

“Besar kemungkinan, COVID-19 akan terus ada dan menjadi endemik serta memerlukan vaksinasi berkala seperti mana suntikan virus selesema,” katanya lagi.

POPULAR