Begitulah pemimpin kaya raya, nyawa dia mahal tapi nyawa rakyat ‘murah’

Chegubard kata memang wajar Tajuddin dipecat bagi menjaga imej kerajaan.

Pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada kerusi Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ‘disambut baik’ oleh ramai pihak dan menegaskan tindakan kerajaan itu tepat pada masanya susulan ‘kerosakan’ yang telah beliau lakukan baru-baru ini.

Pengarah Operasi Jabatan Pilihanraya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai ‘Chegubard’ berkata, sikap yang dipamerkan oleh Tajuddin ketika mengendalikan sidang media susulan insiden tren Laluan Kelana Jaya ternyata menyerlah kesombongan pemimpin veteran UMNO itu, selain tidak menjalankan amanahnya dengan baik.

Susulan itu, tegasnya adalah amat wajar Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memecat beliau bagi memelihara imej kerajaan yang tercalar rentetan insiden itu.

“Terima kasih atas ketegasan, selepas ini makin bertambahlah serangan terhadap PM dari “geng itu”… dan begitulah pemimpin kaya raya, nyawa dia mahal tapi nyawa rakyat dia buat bahan lawak sahaja, sudahlah ketika kejadian dia hilang, menteri boleh turun tapi dia hilang.

“Muncul esoknya dah tengah hari dengan sidang media dia tak sedia langsung jawab soalan wartawan secara kurang ajar dan boleh gelak juga melawak pasal nyawa manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Tajuddin mencetuskan kontroversi berhubung caranya yang tidak profesional mengendalikan sidang media selepas melawat lokasi kejadian nahas Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini dipecat daripada jawatan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad.

Khidmatnya ditamatkan Kementerian Kewangan serta-merta dan surat penamatan kontrak tersebut ditandatangani Tengku Zafrul, bertarikh 26 Mei 2021.

Tajuddin juga didakwa membuat kenyataan kasar terhadap seorang wartawan asing dari China. Dengan reaksi air muka yang ditunjukkannya ketika memberi jawapan lucu yang menyakitkan terhadap soalan serius yang diajukan oleh wartawan itu.

Selain tidak memakai pelitup muka, Tajuddin juga dituduh gagal dan tidak mempunyai perasaan sensitif atau empati terhadap mangsa tragedi LRT, sekali gus membuktikan beliau sama sekali tidak layak menduduki kerusi Pengerusi Prasarana.

Tegasnya lagi, meskipun telah ditegur Tajuddin masih ‘keras kepala’dan tidak tampil memohon maaf walaupun berhadapan dengan kecaman kritikan ramai.

“Dia terus ego dan hanya minta maaf melalui Datuk Seri Najib Razak setelah dihubungi Najib secara peribadi memberikan teguran,” katanya.

POPULAR