Beberapa mukim di enam negeri kena PKPD mulai Sabtu

PKPD dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa mukim dan lokaliti di enam negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak mulai 22 Mei hingga 4 Jun depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD ini susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan berkenaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di 15 mukim dalam daerah Besut, Terengganu yang melibatkan Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang, Hulu Besut.

“KKM mengesahkan sembilan daripada 17 kluster aktif di Terengganu melibatkan daerah Besut yang telah menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negeri ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini negara mencatatkan kes jangkitan baharu paling tinggi iaitu sebanyak 6,807 kes, dengan Kelantan merekodkan 426 kes, Terengganu (233), Pahang (157), Perak (248), Sabah (245), dan Sarawak (608).

Mengenai pelaksanaan PKPD di Kelantan, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kepulauan Tumpat membabitkan Teluk Renjuna, Pantai Hj Nik Mat, Pulau Beluru dan Pantai Suri; Mukim Sungai Pinang.

Tindakan itu diambil setelah 22 kes positif Covid-19 direkodkan hasil daripada 80 ujian saringan dilakukan KKM yang melibatkan empat lokaliti iaitu Teluk Renjuna (11 kes), Pantai Hj Nik Mat (6 kes), Pulau Beluru (4 kes) dan Pantai Suri (1 kes).

KKM juga mendapati berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh singkat dengan kadar positiviti direkodkan ialah 27.5 peratus.

Pahang, Ismail Sabri berkata ia melibatkan Rumah Banjir Kuala Teh di Jerantut dan KKM hari ini turut melaporkan peningkatan kes secara mendadak di lokaliti berkenaan.

“Sebanyak lapan kes positif direkodkan hasil daripada 22 ujian saringan bergejala dengan kadar positiviti 36.36 peratus. Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain,” katanya.

Sementara itu, mengenai PKPD di Perak, Ismail Sabri berkata ia membabitkan empat mukim iaitu daerah Hulu Perak di mukim Pengkalan Hulu; daerah Larut, Matang dan Selama (mukim Taiping); daerah Kinta (mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) dan daerah Muallim (mukim Hulu Bernam Timur).

Ismail Sabri berkata, bagi pelaksanaan PKPD di Sabah pula, ia melibatkan Kampung Idani di Semporna, Kampung Pisang di Tawau dan Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya di Kunak.

Mengenai pelaksanaan PKPD di Sarawak yang melibatkan Kampung Boyan di Kuching, Ismail Sabri berkata KKM melaporkan berlaku peningkatan mendadak di lokaliti ini apabila sebanyak 34 kes telah direkodkan hasil daripada 171 ujian saringan dilakukan KKM.

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021
Kerajaan kaji tetapkan harga siling minyak masak botol 5kgJune 12, 2021