Beberapa daerah di N. Sembilan, Melaka masih tiada elektrik: TNB

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan beberapa daerah di Negeri Sembilan dan Melaka masih terputus bekalan elektrik akibat bencana banjir yang melanda di negeri tersebut.

Dalam satu kenyataan, TNB berkata kerja-kerja sedang giat dijalankan bagi menyambung bekalan elektrik yang terputus dan akan disalurkan secara berperingkat memandangkan keadaan banjir yang masih belum reda sepenuhnya.

“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat,” katanya melalui laman Facebook rasmi TNB Careline, hari ini.

Kawasan yang belum mendapat bekalan elektrik itu merangkumi dua kawasan di Seremban, satu kawasan di Tampin bagi Negeri Sembilan dan dua kawasan di Masjid Tanah, satu kawasan di Merlimau bagi Melaka, manakala satu kawasan di Kuala Lumpur turut terlibat.

Kawasan yang belum mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan bekalan oleh TNB di Melaka dan Negeri Sembilan demi keselamatan orang ramai disebabkan hujan lebat.

Dalam pada itu, TNB juga memaklumkan bekalan elektrik di 184 kawasan di Selangor yang terjejas akibat banjir sudah dipulihkan sepenuhnya, setakat pukul 3 petang ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR