
Bank Negara mengumumkan kenaikan kadar OPR pada Rabu.
Kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana akan berdepan bebanan hidup yang lebih berat selepas Bank Negara (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) 25 mata asas kepada 3.0 peratus hari ini.
BNM membuat langkah mengejut apabila mengumumkan kadar OPR baharu hari ini yang secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pinjaman yang dibuat oleh rakyat, ia secara tidak langsung menambah peningkatan kepada bayaran balik.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan, Wendy Subramaniam, berkata ini kerana tahap pendapatan golongan itu tidak dapat mengimbangi peningkatan kos sara hidup yang kini membelenggu rakyat.
“Keputusan untuk menaikkan OPR juga akan memberi tekanan kepada rakyat yang mempunyai pinjaman. Apabila OPR naik, bayaran ansuran bulanan sedia ada kepada pihak bank pun akan naik dan ini menyukarkan kehidupan rakyat yang bergelut untuk membayar pinjaman mereka.
“Keputusan ini juga akan menjejaskan pasaran saham serta pasaran perumahan kerana harga rumah dan hartanah dipengaruhi oleh perubahan OPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya hari ini membuat keputusan menaikkan kadar OPR.
Selain itu, kadar siling dan lantai koridor OPR turut dinaikkan, masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
Mengulas lanjut, Wendy berkata, kenaikan OPR juga akan menyebabkan pelabur lebih berhati-hati sehingga harga rumah dan hartanah serta saham, jatuh.
“Ini akan menjejaskan situasi kewangan orang yang mempunyai rumah dan hartanah serta saham. Keputusan untuk menaikkan OPR akan membuatkan rakyat terpaksa menghadapi kadar faedah pinjaman dan kos sara hidup yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut mempersoal Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, yang menggelar kenaikan OPR itu sebagai ‘angpau’ kecil kepada peminjam selepas BNM mengekalkan OPR 2.75 peratus pada Januari lalu, sama ada akan bersuara untuk rakyat lagi.
“Hanya tiga bulan sahaja, BNM mengumumkan kenaikan kadar faedah 25 mata asas dan OPR meningkat daripada 2.75 peratus kepada 3 peratus, ia terus kembali ke tahap separuh kedua 2019.
“Ini bermakna (kerajaan) mengambil semula ‘angpau’ kecil yang diberikan kepada rakyat dengan faedahnya. Sila jawab, Lim Guan Eng,” tegasnya.
OPR dinaikkan empat kali berturut-turut sejak Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.