Bayaran BKC mula dikreditkan 6 September, kata Perdana Menteri

Bayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) akan dikreditkan secara berperingkat bermula 6 September ini dan dijangka selesai pada 10 September, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, bayaran itu akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.

“Saya mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan Ogos yang lalu.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran BKC.

“Hari ini (1 September 2021) dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan,” katanya.

Untuk rekod, BKC adalah sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan beberapa bayaran tambahan pakej rangsangan ekonomi, yang diperkenalkan Kerajaan Perikanan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Pada 28 Jun 2021, kerajaan telah mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata pembayaran seterusnya akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Saya sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar,” katanya.

Perdana Menteri berkata bagi kategori miskin tegar dan B40, ianya berdasarkan kriteria kelayakan BPR 2021 dengan jumlah pendapatan isi rumah/warga emas sebanyak RM5,000 dan ke bawah dan individu bujang sebanyak RM2,500 dan ke bawah.

Bagi kategori isi rumah miskin tegar, bayaran RM1,300 akan dibuat dalam tiga fasa, manakala warga emas dan sebatang kara serta individu bujang pula, bayaran sebanyak RM500 akan dibuat dalam dua fasa.

Kategori B40, bayaran untuk isi rumah sebanyak RM800 akan dibuat dalam dua masa, manakala warga emas dan sebatang kara serta bujang pula, bayaran RM200 akan dibuat sekali sahaja.

Bagi kategori M40, ianya berdasarkan laporan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan isi rumah antara RM5,001 dan RM9,000, manakala individu bujang pula antara RM2,501 hingga RM5,000.

Untuk kategori ini, bayaran isi rumah sebanyak RM250, dan warga emas atau sebatang kara serta individu bujang sebanyak RM100 pula akan dibuat sekali sahaja.

BERITA BERKAIT
POPULAR