
Bantuan Khas Covid-19 dilancarkan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021 memberi manfaat kepada kira-kira 11 juta isi rumah dan diterukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekarang.
Bantuan Khas Covid-19 (BKC) Fasa 1, membabitkan dana berjumlah RM3.1 bilion, berpotensi memberi kesan penggandaan kepada ekonomi antara tiga hingga kali ganda susulan tambahan perbelanjaan pengguna, terutama kumpulan berpendapatan rendah.
Penganalisis ekonomi ekonomi juga berpendapat bayaran BKC itu adalah tepat ketika rakyat berdepan masalah kritikal susulan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP).
BKC diperkenalkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu serentak dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion.
BKC – satu lagi bantuan tunai langsung berjumlah RM10 bilion – akan memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan RM4.6 bilion.
Pembayaran BKC Fasa 1 itu akan dibuat secara berperingkat mulai 6 September 2021 bagi penerima B40 dan 9 September 2021 bagi penerima M40, yang akan memanfaatkan 4.4 juta isi rumah, 1.1 juta warga emas bujang atau tiada pasangan dan 4.5 juta individu bujang.
Memetik laporan BHOnline hari ini, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata pembayaran bantuan tunai itu adalah tepat pada masa kritikal untuk membantu isi rumah yang terkesan akibat situasi pandemik berpanjangan, disusuli pelaksanaan PKPP.
Beliau berkata, suntikan bantuan itu akan memberi rangsangan perbelanjaan kepada ekonomi, sementara kesan penggandaan akan memberi sokongan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada bulan terakhir suku ketiga dan berterusan ke suku keempat.
“Pengganda penggunaan bagi kumpulan berpendapatan rendah yang rata-rata membelanjakan 80 peratus daripada pendapatan diterima adalah kira-kira lima kali ganda dalam jangka panjang.
“Dalam tempoh terdekat, suntikan RM3.1 bilion dijangka menyumbang kurang sedikit daripada 0.2 peratus kepada KDNK negara,” katanya mengulas impak pembayaran BKC Fasa 1 kepada ekonomi.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berpendapat pembayaran BKC itu seharusnya memberi impak positif kepada ekonomi berikutan golongan B40 mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk berbelanja.
Beliau berkata, memandangkan lebih separuh KDNK adalah terdiri daripada perbelanjaan swasta, bantuan tunai langsung itu seharusnya dapat memberi lonjakan kepada KDNK bagi September dan juga suku keempat 2021.
“Berdasarkan Marginal Propensity to Consume (MPC) yang berada pada paras 0.71, ia akan menghasilkan jumlah tambahan perbelanjaan sekitar RM2.2 bilion,” katanya.
Sementara itu, Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim, berkata BKC Fasa 1 adalah satu rangsangan ekonomi yang baik dan sokongan yang amat diperlukan khususnya rakyat dalam kalangan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang masih berlanjutan.
Beliau berkata, selain BKC, program lain seperti Bantuan Prihatin Rakyat, moratorium bayaran balik serta pengeluaran i-Sinar dan i-Citra bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan turut menyokong pertumbuhan perbelanjaan pengguna.
Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin pula berpandangan bahawa pembayaran BKC Fasa 1 itu adalah manifestasi awal kepada Kabinet yang menekankan budaya kerja berprestasi tinggi dan menunjukkan kerajaan peka terhadap keperluan semasa rakyat.
Beliau berkata, penyaluran bantuan tunai itu dijangkakan akan merangsang permintaan domestik negara dengan memacu sektor penggunaan swasta dan juga dapat menyegarkan sedikit sektor perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang masih lagi begitu terkesan pada ketika ini.
“Dari segi penggandaan ekonomi agak terhad, namun ia sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada golongan yang menerima manfaat ini, seperti mereka yang dalam kategori miskin tegar, golongan B40, M40, dan juga golongan bujang yang berkelayakan.
“Kesan pengganda ini dapat dilihat terutamanya pada akhir suku ketiga tahun ini dari segi peningkatan dalam perbelanjaan boleh guna rakyat, penggunaan swasta, dan beberapa sektor khusus, seperti sektor perkhidmatan dan sub-sektor perkhidmatan, sektor makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit, dan juga industri yang berasaskan makanan,” katanya.
Bagi peserta industri peruncitan pula, Setiausaha Agung Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Mohamed Mustakim Manaf, berkata peruntukan RM3.1 bilion itu secara langsung akan menyuntik aliran tunai ke dalam pasaran dan pihaknya berharap akan berupaya merangsang sektor peruncitan.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika bantuan tunai itu lebih bertumpu untuk warga B40 dan B40 melangsaikan hutang pinjaman kad kredit, kereta ataupun rumah, maka impak kepada sektor peruncitan adalah terhad.
“Kita tetap berterima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pantas memberi kelulusan untuk segera mengagihkan bantuan ini demi kebaikan warga B40 dan M40. Apa juga suntikan tunai ke dalam pasaran tetap dijangka membantu sektor peruncitan,” katanya.