Batalion 8 PGA arah anggota pakai dua lapisan pelitup muka

Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (Bat 8 PGA) mengarahkan semua anggota dan pegawainya memakai dua lapisan pelitup muka dan sarung tangan ketika menjalankan tugas sejak pelaksanaan sekatan penuh atau ‘total lockdown’ pada 1 Jun hingga 14 Jun ini.

Penolong Pegawai Pemerintah Bat 8 PGA, Deputi Superintendan K K Rames berkata arahan itu bertujuan mengelak sebarang kejadian tidak diingini seperti kontak dengan mana-mana individu yang diperiksa khususnya pendatang tanpa izin.

“Kita tidak mahu ada anggota yang terjejas akibat dijangkiti dan langkah ini sekurang-kurangnya dapat mengelak daripada dijangkiti kerana kita tidak tahu orang yang diperiksa itu negatif atau positif Covid-19.

“Anggota yang menjalankan tugasan di sekatan jalan raya biasanya terdedah kepada jangkitan dan disebabkan itulah, soal keselamatan dan kesihatan anggota perlu dijaga,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawalan di Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh Bat 8 PGA mengawal sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sejak 17 Mei hingga semalam, sebanyak 42 kes telah dicatatkan dengan nilai rampasan hampir RM800,000.

Dalam tempoh sama, seramai 39 individu turut ditahan selepas dikesan terlibat dalam kegiatan penyeludupan barangan kontraban, dadah dan penyeludupan migran.

“Data ini menunjukkan kegiatan jenayah rentas sempadan tetap berlaku walaupun negara sedang dilanda pandemik COVID-19,” katanya sambil menambah PGA8 akan terus meningkatkan tahap pemantauan di sempadan negara terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

BERITA BERKAIT
POPULAR