
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tidak wajar sebarang spekulasi dibuat berhubung siasatan yang sedang berjalan berkait isu rasuah membabitkan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini Sivakumar hanya baharu disiasat dan belum berdepan pertuduhan berhubung kes rasuah di mahkamah walaupun sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
“Ini baru siasatan, belum ada pertuduhan (di mahkamah). Kalau umpamanya siasatan kepada saya selaku Perdana Menteri, yang diminta adalah bagi penjelasan. Ini kena dibezakan, siasatan itu dalam proses, ia serah kepada SPRM.
“Kalau ada pendakwaan itu soal lain. Saya tak boleh buat telahan awal. Dalam kes khusus Sivakumar ini, kita tak wajar beri apa-apa telahan, selain daripada kenyataan bahawa beliau dipanggil memberikan jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan oleh SPRM,” katanya dipetik laporan BH.
Terdahulu, beliau ditanya sama ada Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah itu perlu bercuti atau berehat sementara ekoran siasatan yang dikenakan terhadapnya.
Bagaimanapun, DAP berkata setakat ini tidak ada arahan daripada pihak kerajaan supaya menteri dari partinya itu perlu direhatkan.
Anwar berkata, kerajaan pimpinannya tegas dengan prinsip dalam soal tatakelola dan banteras rasuah, tanpa mengira latar belakang dan parti politik individu yang disiasat atau didakwa itu