Banyak individu minta bantuan khidmat pengurusan hutang, berisiko muflis

Pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada ekonomi dan banyak individu kini terpaksa meminta bantuan untuk khidmat pengurusan hutang susulan berdepan risiko muflis kerana terjejas pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu.

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menerima banyak permohonan bantuan sejak PKP dilaksanakan dan dijangkakan meningkat meningkat hingga tiga kali ganda, terutamanya apabila tempoh Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar berakhir pada 30 Jun ini.

“Ketika ini, ada yang telah mula hampir habis kemampuannya untuk membayar hutang, jadi ada yang tercari-cari pihak bank untuk minta bantuan. Jadi kami juga berusaha untuk membantu sebanyak mungkin kerana dijangka bilangan yang minta bantuan nanti akan meningkat hingga dua tiga kali ganda.

“Memang ramai sebenarnya yang hampir muflis, sebab itu kami cuba sedaya upaya membantu mereka yang mempunyai tunggakan pinjaman sebelum mereka dibankrapkan. Apabila diisytihar bankrap, AKPK tidak boleh lagi membantu, sebaliknya kes mereka akan diuruskan oleh Jabatan Insolvensi,” Eksekutif Kanan AKPK, Rohanizam Talib dipetik Utusan Malaysia.

Jelasnya, bantuan kewangan dan beberapa insentif kerajaan termasuk moratorium sebelum ini banyak mengurangkan beban individu dan angka itu sebenarnya menurun daripada kira-kira 4,500 kes setiap bulan.

Pihak AKPK sedang merancang langkah persediaan awal memandangkan total lockdown bakal akan berkuatkuasa esok dan sedang merangka kerjasama dengan bank bagi membantu mereka yang gagal membayar komitmen dan bayaran balik pinjaman.

“Akan ada sektor ekonomi yang ditutup dan tidak dapat beroperasi nanti, jadi ia tentunya memberi kesan kepada golongan peniaga dan pekerja.

“Dari segi ini, kami boleh membantu mereka yang terkesan dengan menstruktur semula bayaran pinjaman, tetapi pada masa sama membantu mereka mendapat sumber pendapatan seperti pekerjaan sambilan dan perniagaan dalam talian, jadi AKPK dapat membantu secara holistik,” katanya.

Bagaimanapun, Rohanizam menggesa orang ramai supaya berhubung segera dengan AKPK sekiranya mempunyai masalah pengurusan kewangan.

“Ada yang enggan meminta bantuan daripada AKPK kerana takut disenaraihitam, ada yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat, itu yang menyebabkan mereka jatuh bankrap. Ada juga yang menyangka AKPK membankrapkan orang, itu tidak benar.

“Kami sudah membantu lebih 300,000 individu daripada terjerumus ke status muflis setakat ini, jadi lebih baik minta bantuan AKPK daripada minta bantuan ah long ataupun mana-mana pihak yang tidak sepatutnya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR