
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai calon Perdana Menteri oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Tindakan terlalu membincangkan bila pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan akan memberi kesan kepada kestabilan politik negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata tindakan itu juga akan menjejaskan tumpuan kerajaan terhadap menyelesaikan pelbagai isu dihadapi rakyat termasuk berkaitan kenaikan harga barang yang dipengaruhi ekonomi global, lapor Bernama.
“Politik negara masih stabil, kita sekarang tumpu kepada pulihkan ekonomi termasuk kenaikan harga barangan dan (isu) bekalan yang kini merupakan fenomena global.
“Kalau terlalu bincang bila PRU-15, ia akan memberi kesan kepada kestabilan politik. Kita akan bincang soal ini (PRU-15) lebih daripada soal urus negara,” katanya pada sidang media selepas menaiki Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Sri Damansara Sentral hari ini.
Beliau berkata walaupun masalah ekonomi merupakan isu global, namun kerajaan mahu memberi tumpuan terhadap isu itu supaya kesan kepada negara tidak terlalu teruk.
Ismail Sabri mengulangi kenyataan bahawa tiada mana-mana perdana menteri akan membincangkan tarikh pilihan raya secara terbuka.
Sebelum ini, ramai pemimpin politik terutama dalam kalangan parti UMNO menggesa agar PRU-15 dapat diadakan dengan segera.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin Kluster Mahkamah lain yang sedang berdepan perbicaraan berterusan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar mempercepatkan PRU-15 segera.
Terdahulu, Zahid membidas pembangkang sebagai penakut untuk berdepan PRU-15 dan hanya tahu memberi banyak alasan untuk mengelak daripada ia dijalankan.
Ujarnya, langkah mengadakan PRU-15 adalah jalan sebaiknya daripada berterusan dengan kerajaan campuran yang sedang ditadbir oleh Ismail Sabri, malah mencabar pembangkang untuk berani mendesak supaya ia disegerakan.
“Dulu pembangkang beri alasan Covid-19 oleh itu PRU-15 tidak boleh diadakan, kini alasan inflasi pula. Alasan demi alasan pembangkang sebenarnya mendedahkan kekhuatiran sebenar mereka.
“Kekhuatiran untuk berdepan penentuan rakyat yang pernah mereka perdaya demi mendapat kuasa. Mahu membeli masa untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi dan menipu rakyat sekali lagi. Insya Allah dengan kembali sebuah kerajaan yang mampan apa jua cabaran dapat negara kendalikan dengan lebih baik,” katanya.