Bantuan RM1,000 setiap isi rumah mangsa banjir akan disalurkan: PM

Setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir besar yang melanda negara akan menerima bantuan berjumlah RM1,000, umum Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata setiap isi rumah layak menerima wang bantuan tersebut walaupun mereka tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), peruntukan tersebut termasuk dalam dana RM100 juta yang disediakan kerajaan bagi membantu mangsa banjir.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk aktiviti pemulihan pasca banjir bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak.

“Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sama ada yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi membantu usahawan yang terjejas pula, kerajaan juga akan memberi pembiayaan kewangan ehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) tanpa faedah atau keuntungan dengan tempoh bayaran yang bermula hanya selepas enam bulan perjanjian pembiayaan ditandatangani.

Jelasnya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersetuju menyumbang sebanyak RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir.

Beliau berkata, ia adalah peningkatan lebih 100 peratus berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan semalam.

“GLIC dan GLC yang menyumbang ini termasuklah Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dengan geran kerajaan sebanyak RM25 juta, ini bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca-banjir adalah RM75.8 juta,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju memberikan dua bulan pengecualian sewa kepada penyewa SME Bank’s Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir.

Katanya, kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir.

Selain itu, kata beliau, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir melalui TEKUN Nasional.

“Koperasi yang terjejas juga akan dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000,” katanya.

Ismail Sabri turut memberitahu, isu banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam perlu diselesaikan dengan kadar segera, justeru, beliau mengarahkan semua agensi mengatur kerja dengan lebih agresif untuk membantu mangsa banjir di sana.

Sehingga petang ini, katanya, sebanyak 41 bot, 16 lori serta aset-aset lain digerakkan ke Taman Seri Muda dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menggerakkan segera 20 aset pam mudah alih ke kawasan yang terjejas, tambahan kepada empat buah pam sedia ada.

“Ini bertujuan mengepam air dari kawasan yang mengalami banjir genang (yang biasa dikenali sebagai banjir termenung) ke sungai yang berhampiran. Pam-pam tambahan yang diperoleh daripada pelbagai agensi termasuk yang dimiliki JPS Selangor akan digunakan untuk mengalirkan air genang ke Sungai Kelang,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut bersetuju dengan cadangan supaya beberapa bahagian benteng sungai dipecahkan atau ditebuk buat sementara untuk mengalirkan air genang segera keluar ke sungai dan lokasi penebukan sedang dimuktamadkan.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan sekiranya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tetapi perlu merujuk kepada Pusat Pengurusan Bencana Daerah terlebih dahulu.

BERITA BERKAIT
POPULAR