Bantuan kerajaan mencukupi, tak perlu keluar KWSP: NUBE

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menyatakan pendirian menolak desakan berhubung pengeluaran wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menegaskan bantuan yang diumumkan kerajaan kepada mangsa bencana banjir mencukupi.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon langkah membenarkan pengeluaran KWSP apabila setiap kali berdepan bencana bukan langkah bijak tetapi kerajaan kerajaan perlu menambah peruntukan bantuan sumbernya dengan sewajarnya.

“NUBE bersimpati dengan nasib mangsa banjir tetapi menggunakan dana persaraan pekerja ketika setiap bencana bukanlah pendekatan bijak. Kerajaan Persekutuan dan negeri bertanggungjawab memastikan persediaan keperluan asas mencukupi.

“Selain itu pengagihan tepat pada masanya untuk meringankan kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir dan ia amat kritikal sekarang khususnya di tujuh negeri dilanda banjir baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketaksuban menggunakan dana KWSP seperti desakan ahli-ahli politik tertentu semasa setiap bencana adalah tanda kerajaan tidak cekap dan malangnya mereka berbuat demikian di dalam kalangan parti kerajaan yang memerintah.

Sehubungan itu, menurut Solomon, pihaknya mengalu-alukan ketegasan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta KWSP yang memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran lagi simpanan KWSP meskipun terus didesak oleh ahli-ahli politik tertentu.

Jelas beliau, pihaknya berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mengulangi kesilapan sebelum ini dan akan menyediakan pelan tindakan segera untuk gaji sara hidup pekerja yang lebibaik supaya mereka mempunyai simpanan mencukupi semasa kecemasan dan tabungan persaraan demi perlindungan sosial.

“NUBE menyokong pendirian Perdana Menteri dan berharap beliau akan tegas mempertahankan keputusannya demi kesejahteraan para pencarum dalam jangka masa panjang.

“Kita berharap parti beliau tidak akan tunduk kepada tekanan politik popular jangka pendek dan meninggalkan pekerja-pekerja dalam kesusahan dalam jangka panjang. Tindakan tunduk kepada tekanan akan menyebabkan masalah sosial teruk dan kini sudah melihat tanda-tanda sedemikian,” jelasnya.

Kata beliau, ahli-ahli politik perlu sedar bahawa tabung persaraan pekerja telah merosot ketara akibat pengeluaran dibuat dalam dua tahun lepas akibat wabak Covid-19 apabila KWSP telah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

“Ini membawa kepada sejumlah besar pencarum sebahagian besarnya kumpulan B40, sangat terdedah kepada kesukaran apabila bersara. Agak mengejutkan seramai 28 peratus atau 3.6 juta ahli mempunyai kurang dari RM1,000 dalam simpanan mereka. Malangnya, ramai pencarum yang berada dalam keadaan menyedihkan itu merupakan komuniti diwakili UMNO.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan simpanan mencukupi juga antara lain disebabkan oleh ketiadaan kenaikan gaji yang baik selama beberapa dekad dan khususnya kekurangan gaji sara hidup lebih baik,” katanya.

Solomon kemudian menjelaskan, kerajaan UMNO selama lebih 60 tahun telah gagal untuk menaikkan gaji pekerja yang setanding dengan Singapura dan negara jiran lain yang sama ada berada di belakang kita atau seiring dengan kita pada satu masa dulu.

Tambahan pula katanya, kekurangan iltizam politik untuk memerangi rasuah institusi telah membawa kepada tahap rasuah yang semakin teruk dan membimbangkan.

“Penyakit barah ini telah menafikan bahagian mereka yang saksama daripada kekayaan negara. Ketidakadilan undang-undang buruh telah menghalang pekerja dan kesatuan sekerja daripada menuntut bahagian pendapatan buruh lebih adil daripada keuntungan.

“Pada masa yang sama, GLC dan GLIC tidak menjadi contoh dalam mempromosikan gaji sara hidup yang baik malah memburukkan keadaan apabila penyelewengan dana kedaulatan Malaysia pemimpin tertentu, telah membantutkan pertumbuhan pendapatan rakyat biasa yang diperlukan semasa bencana seperti sekarang,” jelasnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR