Bantuan BKC: Kerajaan terima 65,189 permohonan orang ramai

Permohonan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang diterima kerajaan daripada orang ramai sehingga 6 Disember lalu adalah sebanyak 65,189.

Sebanyak 55,184 permohonan telah diproses dan 22,336 permohonan diluluskan membabitkan RM28.6 juta, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid.

“Bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 pula, daripada 24,305 permohonan yang diterima, 14,818 permohonan telah diproses dan 11,816 permohonan telah diluluskan melibatkan bantuan sebanyak RM59.08 juta.

“Tiada peruntukan khusus pada 2022 daripada kerajaan bagi bantuan ini kerana ia menggunakan Tabung Covid-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang menerima sumbangan daripada orang ramai, entiti korporat, institusi diraja dan anggota pentadbiran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta kerajaan menjelaskan mengenai statistik terkini permohonan dan kelulusan Bantuan Khas Covid-19 dan Bantuan Pengurusan Covid-19 di bawah pengurusan Nadma serta berapakah peruntukan kerajaan untuk dua bantuan ini bagi tahun 2022.

Mengulas lanjut, Mastura berkata, kerajaan telah memberi sumbangan awal berjumlah RM61 juta dan jika berlaku gelombang seterusnya kerajaan akan menambah dana bagi menampung keperluan.

“Saya juga ingin memaklumkan sekiranya terdapat permohonan bantuan ini dalam kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat (wakil rakyat) yang masih belum dihantar, mohon supaya dapat dikemukakan terus kepada saya,” katanya.

Untuk rekod, BKC diperkenalkan semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), ia merupakan satu lagi bantuan tunai yang dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan RM4.6 bilion.

Mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion.

Pengenalan BKC merupakan sebahagian daripada Bantuan Tunai Langsung berjumlah RM10 bilion, selain Bantuan Prihatin Rakyat yang diumum sebelum ini bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR