
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata adalah wajar bagi penjawat awam mempertahankan kerajaan yang ada sekarang daripada sebarang dakwaan dan fitnah yang mengatakan kerajaan di bawah pentadbirannya telah gagal.
Pada pertemuan dengan kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri berkata penjawat awam perlu mempertahankan kerajaan dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan bukannya sebagai pemimpin parti politik, menurut Bernama.
Ismail Sabri berkongsi kejayaan dikecapi kerajaan antaranya pencapaian cemerlang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merekodkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, selain mewujudkan pekerjaan mencecah 400,000 serta prestasi nilai dagangan melepasi RM2 trilion.
“Apabila tuan puan mempertahankan, tuan puan tidak berpolitik. Jangan lihat saya sebagai pemimpin politik tetapi sebagai ketua kerajaan dan tuan puanlah anggota kerajaan.
“Kerajaan ini adalah kerajaan bersama. Sebab itu saya perkenalkan konsep Keluarga Malaysian sebab saya nak kita bersama anggap kerajaan ini sebagai satu keluarga,” katanya.
Perjumpaan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Ismail Sabri berkata beliau mahu penjawat awam bekerja sebagai satu keluarga dan tidak bekerja dengan budaya silo.
“Saya tak nak isu lama bekerja dalam keadaan silo. Kita mesti bekerja bersama, kita punyai tanggungjawab bersama, kita tak boleh bergerak secara silo lagi tetapi mesti bekerja secara keluarga kerana cara silo sebenarnya akan sebabkan kegagalan kepada sesuatu tindakan atau perancangan,” katanya.
Bagi membolehkan ekonomi negara bertambah baik, Ismail Sabri mahu penjawat awam mengurangkan kerenah birokrasi terhadap pelabur memandangkan ia sering dibangkitkan kumpulan itu semasa beliau mengadakan lawatan ke luar negara.