
Majlis Daerah Batu Gajah mengeluarkan arahan supaya turut menggunakan tulisan Jawi pada papan iklan premis perniagaan bermula 1 Januari 2022.
Bantahan pemimpin DAP terhadap penggunaan tulisan Jawi pada papan iklan serta papan tanda, jelas menunjukkan sikap Islamofobia sedangkan ia tidak ada kena mengena dengan agama.
“Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam mereka ini menjadi fobia padahal tulisan Jawi tiada kena mengena dengan agama,” kata Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria memetik kenyataannya kepada media rasmi PAS, Harakah.
Pada 31 Disember 2021, Majlis Daerah Batu Gajah, Perak mengeluarkan arahan baharu kepada peniaga supaya turut menggunakan tulisan Jawi pada papan iklan premis perniagaan bermula 1 Januari lalu.
Peraturan baharu itu terkandung di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (Majlis Daerah Batu Gajah) 2013 perenggan 10 (1)(a).
Berdasarkan notis yang dikeluarkan, semua urusan berkaitan permohonan baharu dan pembaharuan Lesen Premis Perniagaan dan iklan di kawasan majlis daerah berkenaan dikehendaki mematuhi peraturan berkenaan penggunaan tulisan Jawi bagi keterangan aktiviti perniagaan pada visual papan iklan atau papan tanda premis perniagaan masing-masing.
Susulan itu, Ahli Parlimen Kampar, Su Keong Siong mempersoalkan rasional di sebalik arahan yang dikeluarkan berhubung tulisan Jawi itu.
Keong Siong dilaporkan mendakwa peraturan itu melanggar hak peniaga tempatan untuk membuat pilihan serta beralasan kawasan berkenaan mempunyai lebih 80 peratus penduduk bukan Islam.
Mengulas lanjut Razman berkata sikap Keong Siong jelas menggambarkan Islamofobia yang wujud dalam dirinya sehingga merasakan penggunaan tulisan Jawi menggugat fahaman agama penduduk di kawasan terbabit.
Menurutnya arahan itu adalah mekanisme bagi memperkasakan tulisan Jawi dalam kawasan pentadbiran selain memelihara warisan yang pernah digunakan sebagai penulisan dalam lingua franca suatu masa dahulu.
“Tulisan Jawi ini adalah salah satu bentuk tulisan di Malaysia yang tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan agama.
“Meskipun dikaitkan dengan agama, agama rasmi Malaysia ialah agama Islam, sedangkan tulisan Jawi bukan melambangkan sesuatu agama. Ia merupakan bentuk tulisan yang digunakan pada waktu dulu,” katanya.