Bank Negara siasat insiden kesilapan pemprosesan CIMB

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil langkah serta tindakan penyeliaan sewajarnya ke atas CIMB Group Holdings Bhd sekiranya terbukti berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau pengawalseliaan dalam insiden membabitkan kesilapan pemprosesan bank itu baru-baru ini.

Ketika menegaskan perkara itu, Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ketetapan pengawalseliaan berkenaan termasuk aspek pematuhan piawaian pengurusan risiko yang boleh diterima, lapor Bernama.

“Kita sedang meneliti keadaan khusus yang membabitkan insiden tersebut,” katanya selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku keempat 2021 dalam sidang media secara maya di sini, hari ini.

Malah, Nor Shamsiah berkata BNM juga telah meminta CIMB untuk memastikan usaha bagi mendapatkan semula dana terbabit tidak akan menjejaskan keupayaan pelanggan mendapat akses ke atas akaun masing-masing selain membolehkan pilihan munasabah untuk mereka memulangkan semula lebihan dana berkaitan.

Menurut laporan media, CIMB telah menjelaskan bahawa terdapat kesilapan pemprosesan dalam sistem perbankannya yang menyebabkan sejumlah akaun dibekukan dan bank itu sedang menghubungi pelanggan terbabit bagi memastikan penyelesaian secara adil serta terurus.

CIMB berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat sesetengah pengguna akaun bank CIMB dikejutkan dengan pembekuan akaun mereka secara tiba-tiba.

Panik menyelubungi pemegang akaun CIMB apabila mereka menerima pemberitahuan mengenai wang yang diperuntukkan untuk debit daripada akaun mereka.

Dalam laporan media yang memetik khabar angin yang berlegar di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun milik pelanggan CIMB telah dibekukan sejak Isnin dan mereka mendapat mesej bahawa mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR