Bank Islam ikut saranan BNM, lanjutkan bantuan pembayaran semula bersasar

Bantuan Pembayaran Semula Bersasar Dipertingkatkan (ETRA) akan dilanjutkan Bank Islam Malaysia Bhd bagi menyahut saranan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya membantu pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bank Islam berkata lanjutan tersebut bagi membantu peminjam mengikut keadaan kewangan masing-masing, berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Selaras dengan Bantuan Pembayaran Bersasar (TRA) sedia ada yang ditawarkan mengikut kelayakan pelanggan, Bank Islam kini menawarkan pelanggan di bawah bantuan moratorium, tambahan tiga bulan penangguhan ansuran pembiayaan mereka untuk mengurangkan bayaran ansuran pembiayaan mereka atau lanjutan tempoh bayaran selama enam bulan dengan keperluan dokumentasi yang lebih ringkas.

Bank itu juga memberi jaminan bahawa bantuan kewangan akan kekal tersedia, termasuk dan tidak terhad kepada hanya TRA, tetapi turut meliputi bantuan jangka panjang lain seperti pakej Penjadualan dan Penstrukturan Semula.

Bantuan turut tersedia kepada pelanggan daripada pelbagai kumpulan pendapatan, perniagaan mikro dan pelanggan terjejas ekoran pelaksanaan PKP terbaharu (PKP 3.0).

Susulan kenyataan yang dikeluarkan BNM dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) pada 12 Mei lalu, Bank Islam menyeru para pelanggan yang sebelum ini telah menerima bantuan pembayaran bersasar tetapi masih memerlukan bantuan kewangan untuk menghubungi bank tersebut.

BERITA BERKAIT
POPULAR