
Bank di Malaysia telah mengambil langkah tambahan bagi memastikan keselamatan data pemegang kad.
Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menegaskan dan mengesahkan pihak bank sentiasa memberi perhatian serius kepada keselamatan data pemegang kad.
Dua persatuan itu menjelaskan bank melakukan langkah balas keselamatan tambahan untuk melindungi pemegang kad daripada risiko yang berpotensi berlaku, lapor Bernama.
Langkah ini termasuk tetapi tidak terhad kepada peningkatan pemantauan penipuan dalam masa sebenar untuk mengesan tingkah laku penggunaan kad yang luar biasa dan penipuan, menurut persatuan itu dalam kenyataan bersama pada Khamis (11 Ogos 2022).
Kenyataan itu bagi mengulas mengenai data kad berpotensi terjejas dalam insiden keselamatan siber seperti dinyatakan iPay88 baru-baru ini.
“Bank melaksanakan langkah keselamatan berbilang peringkat yang ketat seperti pengesahan dwi-faktor untuk menghalang transaksi kad kredit dan kad debit tanpa izin.
“Bank akan menghubungi pemegang kad secara terus menerusi saluran rasmi bank jika pihak bank mengesan transaksi luar biasa yang mungkin memerlukan pengesahan tambahan. Pemegang kad juga perlu menghubungi bank masing-masing menerusi pusat panggilan atau cawangan untuk bantuan berkaitan perkara ini,” menurut ABM dan AIBIM.
Anggota ABM dan AIBIM juga menyakinkan pemegang kad bahawa pelanggan boleh terus menggunakan kad bank mereka seperti biasa selain diingatkan supaya sentiasa menyemak penyata bank dan pemberitahuan transaksi mereka dari bank.
“Sekiranya pemegang kad mengesan sebarang transaksi yang tidak dibenarkan, mereka perlu segera menghubungi bank mereka di nombor yang tertera di belakang kad bank untuk mendapatkan bantuan.
“Pemegang kad diingatkan, memandangkan ancaman keselamatan siber yang lebih sofistikated, adalah penting untuk berwaspada pada setiap masa,” jelas persatuan itu.
Terdahulu, iPay88 mendedahkan dalam satu kenyataan bahawa mereka mengalami “insiden keselamatan siber” yang mungkin telah menjejaskan data kad pelanggan.
Syarikat itu menyediakan perkhidmatan pemprosesan pembayaran kepada pelbagai perniagaan, termasuk platform e-dagang Shopee, dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi.
Kad pembayaran daripada kebanyakan bank utama dan perkhidmatan e-wallet di negara ini diterima oleh gerbang iPay88, menjadikan insiden itu amat membimbangkan.