Banjir: Zahid kata bantuan kerajaan tak cukup, minta lulus one-off i-Citra

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi meminta bantuan kepada mangsa banjir ditambah, termasuk melanjutkan skim i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tamat bulan ini.

Beliau juga berharap kerajaan membenarkan pengeluaran one-off i-Citra RM10,000 bagi meringankan beban mangsa banjir kerana bantuan kerajaan tidak mencukupi.

Katanya bencana banjir berlaku dengan pantas menyebabkan ramai penduduk tidak sempat berbuat apa-apa selain menyelamatkan diri dan keluarga.

“Saya fikir kesemua mangsa banjir ini perlu dibantu sehabis baik untuk mendepani saat-saat sukar begini. Walaupun kerajaan telah mengumumkan sejumlah bantuan kewangan, tetapi itu harus diakui belum mencukupi.

“Mangsa memerlukan modal untuk membina semula kehidupan selepas bencana ini berakhir sepenuhnya. Mencukupkan semula kelengkapan dan keperluan diri serta keluarga yang telah musnah akibat ditenggelami air.

“Kenderaan, perabot serta peralatan rumah, pakaian, makanan dan segala-galanya. Bagi peniaga pula perlu melengkapkan semua peralatan perniagaan untuk kembali mencari rezeki.

“Dalam keadaan begitu amat wajar Menteri Kewangan memenuhi permintaan rakyat agar skim i-Citra dilanjutkan. Secara tidak langsung wang itu dapat digunakan oleh mangsa banjir untuk kembali bangkit daripada kemusnahan.

“Bantuan kerajaan berserta RM10,000 wang KWSP pasti sedikit sebanyak membantu mereka ‘bernafas semula’,” katanya mengulas kejadian banjir yang berlaku di beberapa negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata individu yang tidak terjejas akibat banjir juga memerlukan wang berkenaan untuk bangkit semula dari kemelut ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Kumpulan Bank Dunia dilaporkan turut menyarankan kerajaan meneruskan bantuan pendapatan sedia ada bagi tempoh minimum enam bulan lagi.

“Ia demi memastikan kelangsungan sokongan kewangan kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan rentan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR