Banjir: Pelajar SPM di Terengganu dipindah, mangsa di Kelantan meningkat

Seramai 319 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir di Terengganu telah dipindahkan ke sekolah lain yang sesuai untuk memastikan mereka dapat mengambil peperiksaan itu dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata mereka adalah pelajar empat sekolah iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu dan sebuah di Kemaman.

Di Hulu Terengganu, seramai 131 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dipindahkan ke SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu manakala 63 pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Hulu Terengganu dipindahkan ke SM Imtiaz Kuala Terengganu dan 41 calon Madrasah Moden Hulu Terengganu dipindahkan ke SMA Khairiah di Kuala Terengganu.

“Di Kemaman pula, 84 calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih dipindahkan ke SMK Cheneh Bharu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Seramai 18,815 calon SPM 2021 akan menduduki peperiksaan itu di 170 pusat di seluruh Terengganu bermula esok.

Sementara itu, Bernama melaporkan jumlah mangsa banjir di Kelantan merekodkan peningkatan manakala Terengganu merekodkan sedikit penurunan setakat jam 2 petang tadi.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,151 orang daripada 2,626 keluarga berbanding 7,625 orang daripada 2,483 keluarga, pagi tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan 35 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan 23 di Pasir Mas, Tanah Merah (enam) manakala masing-masing dua di Kuala Krai, Tumpat dan Pasir Puteh.

Sementara itu portal rasmi info banjir JPS menerusi laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai utama di negeri itu berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 22.53 meter (m) dan Sungai Kelantan di Temangan, Machang (15.73m).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir mencatatkan sedikit penurunan iaitu 17,507 orang daripada 4,477 keluarga setakat 2 petang ini, berbanding 17,742 orang daripada 4,557 keluarga pada 8 pagi tadi.

PPS juga berkurangan kepada 117 buah berbanding 141 PPS pagi tadi iaitu 29 di Dungun, Kemaman (28), Hulu Terengganu (21), Setiu (13), Besut (10), Kuala Terengganu (sembilan), Kuala Nerus (enam) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa tertinggi masih di Kemaman iaitu seramai 8,316 orang diikuti Hulu Terengganu (3,706), Dungun (3,106), Kuala Terengganu (709), Besut (569), Setiu (553), Kuala Nerus (543) dan Marang (lima).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan kebanyakan sungai semakin surut dan ketika ini hanya dua sungai di dua daerah masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di daerah Kemaman dan Sungai Dungun (Dungun).

BERITA BERKAIT
POPULAR