
Mangsa banjir sekitar Kuantan, Pahang, mula dipindahkan ke PPS hari ini (6 Februari 2023).
Pasukan penyelamat telah mula memindahkan keluarga yang rumah mereka dilanda banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan hujan lebat yang melanda Kuantan, sejak semalam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam negeri berkata setakat jam 2 petang hari ini (6 Februari), hujan lebat menyebabkan 1,310 orang daripada 342 keluarga terpaksa dipindahkan ke enam PPS di Kuantan.
Beliau berkata PPS Dewan Dato Manan menempatkan 560 mangsa, diikuti Wisma Belia Indera Mahkota (300); Balai Taman Tas (220 orang); Balai Sri Mahkota (143); Balai Sri Damai (57); dan Balai Jaya Gading (30).
“Mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan secara berperingkat mulai jam 10 pagi hari ini. Ada yang tiba sendiri dan ada yang diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam bersama agensi lain.
“Kebanyakan kawasan Kuantan masih hujan dan melihat keadaan semasa, mangsa banjir dan PPS mungkin bertambah lewat hari ini,” katanya sambil menambah penempatan yang ditenggelami air termasuk Seri Damai dan Kampung Pandan di Kuantan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Kuantan, Pekan dan Rompin sehingga esok, manakala amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya turut dikeluarkan di Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera.
Amaran hujan berterusan peringkat amaran dikeluarkan untuk Cameron Highlands, Lipis, Raub dan Bentong.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 420 mangsa daripada 119 keluarga di Batu Pahat dan Segamat di Johor, masih ditempatkan di lima PPS.
Manakala, 28 mangsa dari enam keluarga di Pasir Mas, Kelantan masih ditempatkan di satu PPS dan 46 mangsa (12 keluarga) di Beaufort, Sabah berlindung di sebuah PPS.
Pada masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan sehingga jam 2 petang ini, tiga sungai di Johor, Pahang dan Perak, mencatat bacaan melebihi paras bahaya.
Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan mencatat bacaan 5.95 meter (m), berbanding 1.50m paras normal, manakala Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok, Batu Pahat (19.00m/14.50m); diikuti Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian (9.15m/8.68m).