Banjir makin pulih, KL dan Perak tutup semua PPS

Keadaan banjir di tujuh negeri dilaporkan semakin pulih dengan semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak ditutup, hari ini.

Berdasarkan maklumat dalam portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 254 PPS di lima negeri – Pahang, Kelantan Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan – masih beroperasi.

Sehingga jam 5.30 petang ini, jumlah mangsa di kelima-lima negeri itu juga turun kepada 11,793 keluarga membabitkan 40,408 individu.

Pecahan terkini menunjukkan 155 PPS masih beroperasi di Pahang dengan 22,449 mangsa banjir melibatkan 8,117 lelaki, 7,661 wanita, 9,709 kanak-kanak dan 750 bayi.

Di Selangor, seramai 16,953 mangsa meliputi 5,901 lelaki, 5546 wanita, 5,154 kanak-kanak dan 352 bayi, ditempatkan di 88 PPS.

Lima PPS di Kelantan menempatkan 685 mangsa terdiri daripada 224 lelaki, 231 wanita, 219 kanak-kanak dan 11 bayi.

Seramai 292 mangsa terdiri daripada 95 lelaki, 107 wanita, 83 kanak-kanak dan tujuh bayi ditempatkan di empat PPS yang masih beroperasi di Negeri Sembilan, manakala hanya satu PPS dibuka di Melaka dengan 29 mangsa iaitu sembilan lelaki, tujuh wanita serta13 kanak-kanak.

Info Bencana JKM juga memaklumkan dua PPS dibuka bagi menempatkan 133 mangsa di Batu 11, Gombak, Selangor dan Sungai Penchala, Kuala Lumpur yang terjejas akibat tanah runtuh.

Sementara itu, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) memaklumkan status paras air dua empangan di Kuala Lumpur dan Sungai Langat di TNB Pangsun, Hulu Langat, Selangor berada pada bacaan normal.

Bagaimanapun, paras Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat dan Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor pada tahap waspada.

Perkongsian sama menyaksikan lima sungai di Pahang pada tahap waspada, masing-masing di Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong; Sungai Pahang di Temerloh dan Sungai Jengka di Kampung Jengka Batu 13, Maran.

Tiga sungai di Pahang berada pada paras bahaya, iaitu Sungai Bera, Bera serta Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran, manakala satu lagi sungai iaitu Sungai Pahang di Paloh Inai dicatatkan pada bacaan amaran.

Tujuh sungai lain, masing-masing dua di Johor Melaka dan Sarawak serta satu di Kelantan turut mencatatkan bacaan pada paras waspada.

BERITA BERKAIT
POPULAR