Banjir kilat: KL hampir lumpuh

Sekurang-kurangnya enam kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat petang ini, 7 Mac 2022, susulan hujan lebat, dengan laluan di Terowong SMART terpaksa ditutup buat sementara.

Menurut Info Trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi laman Twitter rasminya, enam kawasan terlibat ialah Terowong Tabung Haji, Terowong Chan Sow Lin, Jalan Pudu, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysa menerusi hantaran di Facebook memaklumkan banjir kilat itu menyebabkan beberapa laluan terjejas antaranya di Besraya Expressway melibatkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan dari Kampung Malaysia ke Kuchai.

Selain itu banjir kilat di Lebuh Raya Kesas mengakibatkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan Sukom.

Banjir kilat juga mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong SMART melibatkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.

Sementara itu Bernama melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat diramal berlaku di beberapa negeri sehingga jam 7 malam ini.

Amaran yang dikeluarkan MetMalaysia pada jam 2.50 petang tadi menyatakan, kawasan terlibat di Kedah adalah Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan), Pahang (Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera dan Rompin) dan Perak.

Turut terlibat Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, dan Melaka, sementara Johor melibatkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, Sabah di Pantai Barat (Tuaran dan Ranau) serta Sandakan (Tongod).

BERITA BERKAIT
POPULAR