Banjir kilat di Pekan Kajang, air sungai lepas paras bahaya

Hujan lebat petang ini di Lembah Klang dilaporkan mengakibatkan banjir kilat berlaku di sekitar kawasan Pekan Kajang, ia disebabkan hampir sejam hujan tidak reda.

Menerusi laman web Public InfoBanjir, paras air Sungai Langat di Kajang telah melepasi paras bahaya dengan trend aliran air terus meningkat.

Hujan juga dikategorikan sebagai tahap lebat dengan taburan sebanyak 38mm setakat jam 5.45 petang Isnin.

Selain itu, Sungai Langat di Taman West Country Kajang yang berdekatan Bandar Baru Bangi juga kini dikategorikan sebagai zon kuning susulan hujan lebat ketika ini.

Sementara itu, warganet juga berkongsi rakaman video yang menunjukkan limpahan air sudah naik di laluan Kajang menuju ke Semenyih, Selangor.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir di enam negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut hantaran Facebook jabatan tersebut, amaran sehingga pukul 6 petang itu juga membabitkan Perak (Batang Padang dan Muallim) dan Selangor (Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang).

Selain itu, dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya malah Negeri Sembilan (Jelebu).

Amaran juga dikeluarkan di beberapa kawasan Sarawak dan Sabah

BERITA BERKAIT
POPULAR