Banjir kilat di Johor Bahru semalam terburuk dalam tempoh 10 tahun

August 3, 2022 · Isu semasa

Hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di bandar raya ini tengah hari semalam (2 Ogos), disifatkan sebagai antara yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.

Rakaman video oleh orang awam yang dikongsikan di Facebook turut memaparkan beberapa jalan utama dinaiki air antaranya Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kolam Air dan Jalan Yahya Awal.

Malah kawasan letak kenderaan di bandar raya ini turut digenangi air banjir antaranya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), parkir awam di Jalan Ayer Molek dan Kampung Baru Mohd Amin.

Tinjauan Bernama bagaimanapun mendapati air surut sepenuhnya pada kira-kira pukul 2.30 petang tadi dan rata-rata pemilik bertindak memeriksa keadaan kerosakan pada kereta mereka dan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menggunakan khidmat tunda kenderaan.

Pekerja swasta Aliyas Said, 46, yang meletakkan keretanya di kawasan parkir awam di Jalan Ayer Molek berkata banjir kilat kali ini adalah paling teruk dalam tempoh 10 tahun, kerana air naik sehingga ke paras bonet kereta.

“Kejadian (banjir kilat) berlaku tengah hari tadi, masa itu hujan turun lebat sangat dan tengok kereta pun sudah tenggelam.

“Paras air melepasi tayar (sehingga kereta dimasuki air), saya kerja di bangunan berdekatan. Jadi, tunggu hujan reda sedikit dan panggil kawan-kawan untuk tolak kereta,” katanya.

Bagi S.Durghs, 28, pula, beliau terkejut apabila mengetahui keretanya yang diletakkan di kawasan parkir awam itu dinaiki air, turut terkesan.

“Sejak pagi saya sudah letakkan kereta di sini, (ketika kejadian) saya berada di luar dan dapat mesej tempat parkir banjir hingga paras pinggang, ini kali pertama kereta kena air banjir…sebelum ini ada hujan tapi tidak teruk macam ini,” katanya pekerja swasta itu.

Sementara itu, Nour Hashidah Fahruddin, 37, yang pertama kali mengalami kereta dimasuki air mengharapkan agar pihak berwajib dapat mengatasi masalah banjir kilat di bandar raya itu.

“Sebenarnya, sudah banyak kali air naik di kawasan ini, tapi kali ini air naik mendadak. Sebelum ini, air naik ke paras tayar dan tidak masuk dalam kereta, (tetapi) kali ini masuk…sudah 10 tahun saya bekerja di kawasan ini dan ini kali pertama air masuk dalam kereta,” kata pekerja swasta itu.

Hujan lebat selama dua jam sejak 12.30 tengah hari tadi, menyebabkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dinaiki air dan lebih 500 kenderaan turut terjejas.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengambil tindakan segera selain tindakan jangka pendek dan panjang dalam menangani isu banjir kilat di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata kejadian hujan lebat hari ini dengan kadar intensiti hampir 100 milimeter (mm) bermula pukul 1.40 petang, serta air pasang tinggi dengan ketinggian 3.3 meter pada pukul 1.55 petang menyebabkan beberapa lokasi di pusat bandar raya Johor Bahru terjejas akibat banjir kilat.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata berdasarkan kategori bacaan tahap intensiti air hujan, kadar melebihi 60 mm adalah di dalam kategori sangat lebat atau ‘tahap merah’.

Menurutnya susulan jangkaan air pasang tinggi hari ini, pintu Air Sungai Segget telah ditutup bermula pukul 10.51 pagi iaitu tiga jam sebelum paras air pasang tinggi, manakala sistem pam dan ‘tidal valve’ di muara Sungai Chat, Parit Utama Abdul Samad dan Sungai Ayer Molek telah berfungsi dengan baik semasa kejadian.

“MBJB telah melaksanakan beberapa tindakan segera termasuk turun ke tapak sewaktu hujan lebat bagi memastikan pam-pam utama berfungsi dengan baik serta memantau kawasan yang terlibat dengan banjir kilat.

“MBJB juga telah mengeluarkan Notis Amaran Kerja Tanah Akta 33 di atas kegagalan kawalan kerja tanah pembangunan kepada tiga pemaju pembangunan di dalam kawasan MBJB kerana telah mengakibatkan kejadian banjir lumpur hari ini selain akan memantau kerja-kerja pembersihan segera terhadap sampah sarap di parit-parit terbuka yang akan dijalankan oleh SWM Environment,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya memandangkan kejadian banjir lumpur baru-baru ini juga disebabkan oleh projek pembangunan oleh pihak pemaju, MBJB telah mengarahkan pihak pemaju membuat kawalan kerja tanah dengan segera bagi memastikan kerja-kerja pembangunan yang dibuat tidak menyebabkan kelodak atau sisa-sisa kerja tanah memasuki saliran utama yang boleh mengundang kejadian banjir kilat.

Tambah beliau, sekiranya pihak pemaju masih gagal melaksanakan sedemikian, MBJB akan terus mengeluarkan Notis Amaran Kerja Tanah di bawah Seksyen 71, Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) bagi menghentikan kerja serta merta dan mengenakan denda sehingga RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun.

“Bagi tindakan jangka masa panjang, MBJB akan melaksanakan kajian bagi melihat tahap kapasiti pam sedia ada termasuk cadangan menyediakan pam baharu bagi menampung pembangunan-pembangunan baharu di dalam kawasan MBJB bagi memastikan aliran air dapat dilepaskan dengan lancar ke Selat Tebrau, terutamanya ketika air pasang tinggi,” katanya.

Hujan lebat selama dua jam sejak 12.30 tengah hari tadi telah menyebabkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dinaiki air antaranya Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kolam Air, Jalan Yahya Awal, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Jalan Sungai Chat serta Persiaran Abu Bakar, yang mengakibatkan lebih 500 kenderaan terjejas.

Berita berkaitan
Mangsa banjir di empat negeri kini 12,000 ditempatkan di PPS
January 27, 2023· Isu semasa
Penduduk di Sarawak dinasihati tangguh aktiviti luar: Bomba
January 26, 2023· Isu semasa
Jumlah mangsa banjir meningkat, keadaan bertambah buruk di tiga negeri
January 26, 2023· Isu semasa
Jazlan bidas Ismail Sabri dan Hasni pertikai usul tiada pertandingan jawatan Presiden
January 18, 2023· Politik
Popular
Formula baharu Rafizi, perluas model pekerja sambilan bagi pengusaha restoran
January 27, 2023
Kos tunai haji 2023 naik RM31,000
January 16, 2023
Strategi hadapi krisis ekonomi 2023
January 28, 2023
Pemimpin PAS dan Bersatu berkumpul di depan Kedutaan Sweden, tiada pemimpin UMNO
January 27, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Strategi hadapi krisis ekonomi 2023
7 jam lalu · Isu semasa
Formula baharu Rafizi, perluas model pekerja sambilan bagi pengusaha restoran
16 jam lalu · Isu semasa
Kes 1MDB: Saksi mengaku gagal kendali akaun Najib
22 jam lalu · Isu semasa
Pemimpin PAS dan Bersatu berkumpul di depan Kedutaan Sweden, tiada pemimpin UMNO
23 jam lalu · Isu semasa
Kes bunuh pengawal keselamatan, tertuduh dijatuhi hukuman mati
23 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Ucapan Ustaz Ahmad di majlis kutipan dana PRN Pas Kedah
11 jam lalu
[VIDEO] Noh Omar boleh rayu lagi walaupun sabotaj 16 kali, kata Megat Zulkarnain
11 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok