Banjir Jelebu: RAMD selamatkan 50 individu terperangkap di Kenaboi

Seramai 50 orang awam yang terperangkap dan terputus bekalan makanan serta ubatan susulan banjir yang melanda Taman Negeri Kenaboi, Jelebu, dua hari lepas diselamatkan Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD).

Menurut kenyataan Tentera Darat Malaysia (TDM) dua pegawai dan 23 anggota lain-lain pangkat diatur gerak membantu mangsa banjir di lokasi tersebut.

“Terdahulu, beberapa anggota tentera telah menemukan tiga orang awam yang sedang mencari bekalan makanan pada jam 11.15 pagi.

“Susulan itu, satu kumpulan tinjau diatur gerak untuk mencari laluan masuk dan mengenal pasti jumlah orang awam yang memerlukan bantuan,” katanya.

TDM berkata daripada jumlah itu seramai 31 orang bersetuju untuk dibawa keluar dan ditempatkan di Kem Rekreasi Bukit Perjuangan manakala baki 19 orang yang enggan keluar telah dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jelebu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, gerakan mencari dan menyelamat seperti ini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam.

BERITA BERKAIT
POPULAR