Banjir: Empat lemas setelah lima kereta hanyut di Jambatan Telemong

Empat individu yang menaiki lima kereta yang dihanyutkan arus deras ketika banjir menenggelami Jambatan Telemong di Bentong, Pahang, Sabtu lalu disahkan meninggal dunia.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang juga memaklumkan dua individu masih hilang, manakala 10 lagi mangsa, enam lelaki dan empat wanita, diselamatkan.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dihanyutkan arus sungai ketika terperangkap di Jambatan Telemong.

Katanya, sebanyak lima kenderaan terperangkap di jambatan sebelum dihanyutkan arus sungai yang melimpah.

Sebelum kejadian, BBP Karak keluar untuk menjalankan kerja pemindahan mangsa banjir yang terperangkap di resort kawasan Telemong.

“Ketika hampir ke kawasan jambatan, jentera dan anggota terperangkap disebabkan air naik mendadak pada jam 6.40 petang.

“Pasukan terus berada di situ sehingga Ahad dan pada jam 2 petang, pasukan yang masih lagi berada di kawasan berkenaan mendapat berita bahawa lima kenderaan yang terperangkap dihanyutkan arus sungai yang melimpah di Jambatan Telemong,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan di tempat kejadian dengan kaedah menyusur mengikut arus sungai, sebelum mangsa pertama iaitu wanita ditemukan lemas satu kilometer dari lokasi kejadian pada jam 1.17 tengah hari.

“Mangsa kedua iaitu seorang wanita warga emas ditemukan pada jam 1.38 tengah hari dengan pada 1.1 kilometer dari lokasi kejadian dan mangsa ketiga iaitu seorang lelaki ditemukan pada jam 2.07 petang pada jarak 1.2 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, gerakan mencari mangsa yang hilang masih lagi diteruskan membabitkan 32 anggota bomba.

BERITA BERKAIT
POPULAR