Banjir di Pahang, Anwar gesa syarikat balak beri sumbangan kepada mangsa

Syarikat balak yang mengaut keuntungan yang lumayan hasil daripada penjualan sumber alam semulajadi itu digesa memberi sumbangan lebih besar kepada mangsa bencana banjir, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu membuat gesaan tersebut selepas mengadakan lawatan ke kawasan bencana banjir di Ketari di Bentong, Pahang hari ini yang terjejas teruk akibat dan kesan pembalakan jelas berlaku di sekitar kawasan tersebut.

Jelas Anwar, di beberapa kawasan yang dilanda bencana itu, terdapat perkara yang menunjukkan kegiatan pembalakan telah memburukkan masalah banjir.

“Jika lihat gambar, ada juga kesan daripada pembalakan.

“Jadi selain kerajaan negeri, syarikat pembalakan yang raih keuntungan besar wajib beri sumbangan, bantuan lebih besar kerana mereka juga bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Presiden PKR itu berkata, banyak lawatan dilakukannya ke tempat yang ditimpa banjir, termasuk di Selangor, dan melihat rakyat pelbagai kaum dan agama bersama-sama membantu mangsa.

Namun, katanya, ada keperluan untuk menambah baik kecekapan kerja-kerja pembersihan pasca banjir, terutama di Sri Muda di Selangor.

Beliau juga meganmbil maklum masalah kesesakan di kawasan terjejas turut menghalang usaha lori untuk mengangkut keluar sampah dan bahan buangan.

Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan perlu mengurangkan birokrasi untuk mangsa banjir menuntut bantuan.

Menteri juga tidak perlu mengikut protokol ketika pergi ke kawasan yang ditimpa banjir, katanya lagi.

“Kenapa saya naik motor? Umur saya tak sesuai naik motor. Tapi kalau saya ikut peraturan biasa, ia akan jejaskan (ganggu) kerja pemulihan dan bantuan,” katanya lagi.

Anwar berkemungkinan merujuk kepada aduan bahawa konvoi VIP telah menyebabkan gangguan di kawasan tersebut sehingga berlaku kesesakan lalu lintas.

BERITA BERKAIT
POPULAR