Banjir di Mentakab: Mayat dua beranak redah padang bola ditemui

Mayat dua beranak yang hilang selepas dihanyutkan arus ketika menyeberangi padang bola berhampiran Bangunan UMNO di Mentakab, Temerloh pada Selasa ditemukan hari ini.

Musa Ahmad, 53, dan anak lelakinya, Aireel Zikree, 10, ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian. Berita berkaitan

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata operasi mencari dan menyelamat dilakukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin menggunakan bot.

Menurutnya pencarian meliputi kawasan seluas 500 meter persegi di sekitar padang bola berkenaan.

“Mangsa pertama iaitu lelaki dewasa dijumpai kira-kira jam 10 pagi, sebelum pencarian diteruskan dan menemukan mangsa kedua dengan jarak yang hampir sama dengan mangsa pertama kira-kira jam 11.50 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan telah meredah air di kawasan padang bola berdekatan Bangunan UMNO Mentakab.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.15 petang Selasa lalu, apabila kedua-dua mangsa dihanyutkan arus dan terus hilang.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa semalam menggunakan bot aluminium dan dijalankan secara surface searching atau pencarian di kawasan permukaan air di lokasi kejadian dengan radius pencarian seluas 500 meter persegi,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR