Banjir di empat negeri semakin pulih, Sabah tidak berubah

Keadaan banjir di Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka bertambah baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) kian berkurangan petang ini, manakala jumlah mangsa banjir di Sabah tidak berubah, menurut laporan Bernama.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di Melaka menurun kepada 397 orang pada pukul 4 petang ini berbanding 406 orang pada pagi tadi, dengan masing-masing satu dan tiga PPS masih dibuka di Alor Gajah dan Jasin.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 656 orang daripada 189 keluarga di 19 PPS di Pekan, Rompin, Bera dan Maran berbanding 774 orang di 20 PPS tengah hari tadi.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan aras air di Sungai Bera, Bera telah melepasi paras bahaya setakat 4 petang ini.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir kekal 55 orang daripada 15 keluarga yang berada di tiga PPS hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan dua PPS di Telupid iaitu Masjid Kampung Gana Jati menempatkan 15 mangsa daripada enam keluarga, manakala Dewan Kampung Maau 20 orang daripada lima keluarga.

Manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol di Paitan menempatkan 20 orang daripada empat keluarga.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan berlaku ribut petir di satu dua tempat di Sabah pada malam ini, dengan suhu minimun 22 darjah celsius dan maksimum 31 darjah celsius.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 4,274 mangsa daripada 1,188 keluarga di 57 PPS setakat 4 petang ini berbanding 4,346 orang di 58 PPS tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata PPS terbaru yang ditutup di negeri itu adalah PPS Balai Raya Kampung Pudu, Segamat yang ditutup pada 2 petang tadi.

“Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,291 orang, Muar (1,115), Tangkak (814) dan Batu Pahat (54),” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Vidyananthan berkata cuaca di seluruh negeri Johor termasuk daerah yang terjejas banjir adalah cerah, kecuali Batu Pahat yang mengalami cuaca mendung.

Di NEGERI SEMBILAN, berdasarkan laporan aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya enam mangsa banjir daripada dua keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Puom, Jelebu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Rosnah Sardi ketika dihubungi berkata keluarga tersebut telah kehilangan rumah akibat banjir baru-baru ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR