Banjir: Bukan masa cari kesalahan sesiapa, kata Panglima ATM

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa dalam menyelamatkan mangsa banjir, terutama dalam usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata pasukan keselamatan itu sentiasa meletakkan keselamatan rakyat sebagai keutamaan dalam sebarang usaha pengurusan bencana.

Menurutnya dalam keadaan sekarang bukan masa untuk mana-mana pihak meletakkan kesalahan sehingga boleh mengganggu dan menjejaskan sebarang usaha menyelamat serta memindahkan mereka yang terkesan akibat bencana ini.

“Op Murni ini diaturgerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, penyediaan dan pengagihan makanan, pegawai perhubungan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan telah mengaturgerakkan aset-aset seperti trak, pacuan empat roda, bot tempur serta aset udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia sekiranya diperlukan.

“ATM sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk diaturgerakkan ke lokasi-lokasi terjejas di samping membantu pihak berkuasa dan agensi-agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Apa yang penting di sini adalah kerjasama padu antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata sebarang usaha yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep Whole Of Government Approach bagi memastikan setiap agensi terlibat dapat digembleng secara bersama dan berkesan.

Menurut beliau, sebarang kekurangan dalam aspek pengurusan banjir ini adalah tugas bersama setiap agensi untuk mencari jalan penyelesaian dalam menambah baik operasi yang dilaksanakan dan di masa-masa akan datang.

“Adalah ditegaskan bahawa ATM sentiasa komited melaksanakan tugas sekundernya terutama membantu Pihak Berkuasa Awam yang dikoordinasikan NADMA dalam menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana banjir terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.

“Pada masa yang sama, mangsa-mangsa banjir yang terlibat juga diharapkan dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan demi kelancaran operasi yang dilaksanakan serta kesejahteraan dan keselamatan semua,” jelasnya.

Katanya, seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat ATM terlibat dalam usaha menyelamat mangsa banjir di negeri-negeri terjejas dalam Operasi Murni.

Beliau berkata ketika ini, ia sedang memberi tumpuan kepada beberapa kawasan terjejas di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.

BERITA BERKAIT
POPULAR