Banjir: 708 calon SPM di Pasir Mas ambil BM, BI pada April

Seramai 708 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang terjejas banjir di tujuh sekolah di Jajahan Pasir Mas sekarang ini, akan menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada sidang kedua, April depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata penangguhan berkenaan hanya membabitkan dua kertas yang sepatutnya berlangsung Rabu (2 Mac) dan Khamis (3 Mac).

Katanya, sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang; SMK Gual Periok; SMK Baroh Pial; Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Rantau Panjang; SMK Meranti; Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Falah Siram; dan SMU Khairiah Banggol Setol.

“Kementerian Pendidikan membuat keputusan sekolah-sekolah ini tidak dapat digunakan sebagai pusat peperiksaan kerana kawasan itu digenangi air hingga menyebabkan calon-calon dan pegawai peperiksaan tidak dapat masuk ke kawasan sekolah.

“Kertas peperiksaan untuk Rabu dan Khamis akan ditangguhkan pada sidang kedua. Pihak sekolah telah menghubungi calon-calon terlibat dan dijangka peperiksaan pada Isnin (7 Mac) akan kembali seperti biasa bergantung kepada keadaan semasa,” katanya pada sidang media selepas melawat SMK Agama Lati, Rantau Panjang, hari ini.

Memetik Bernama, Radzi turut meminta calon SPM 2021 di negeri ini yang menghadapi kesukaran untuk ke kawasan sekolah atau hadir ke pusat peperiksaan supaya menghubungi guru kelas, setiausaha peperiksaan sekolah atau pengetua.

“Boleh dapatkan penjelasan berkaitan situasi dan mana-mana pusat peperiksaan alternatif yang boleh dihadiri,” katanya.

Beliau berkata calon terkesan banjir turut dibenarkan hadir ke pusat peperiksaan tanpa memakai uniform sekolah.

“Calon-calon yang terkesan banjir, pakailah apa-apa pun tidak mengapa, dalam keadaan krisis kita tak boleh terlalu memilih. Apa yang penting, anak-anak ini tenang dapat hadir ke pusat peperiksaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Radzi memaklumkan keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dan calon SPM yang terkesan boleh menduduki peperiksaan tersebut di pusat-pusat peperiksaan alternatif.

BERITA BERKAIT
POPULAR