Kejadian membaling mercun terhadap anggota polis di Sentul awal pagi tadi disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil, kerana menakutkan secara jenayah dan larangan ke atas pemasangan bunga api.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sehubugan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu agar menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-40482206.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 malam tadi, sepasukan anggota polis dilontar mercun ketika cuba menghentikan kira-kira 200 penduduk kerana membakar bahan itu secara terbuka di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul.
Beh berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 12.50 pagi dan apabila tiba di lokasi, keadaan menjadi sangat tegang dengan letupan mercun tidak terkawal,
Polis katanya, memberi amaran supaya perbuatan itu dihentikan, namun tidak diendahkan.
Katanya, ketika pihak polis sedang menyuraikan orang ramai yang berkumpul, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku dan hampir mengenai anggota yang sedang bertugas.
“Letupan dipercayai daripada mercun yang sengaja dilontar terhadap polis dan setelah itu orang ramai segera beredar dari kawasan itu. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan polis berjaya mengawal tempat kejadian,” katanya.