Bakul Prihatin: Hubungi wakil rakyat jika nama tercicir, kata PM

Individu yang namanya tercicir daripada senarai penerima bantuan Bakul Prihatin Negara diminta segera menghubungi pemimpin masyarakat atau wakil rakyat masing-masing bagi membolehkan bantuan dihantar secepat mungkin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program bantuan itu merupakan nilai tambah kepada program Bantuan Bakul Makanan yang digerakkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak pandemik melanda, bagi membantu mereka yang terkesan tanpa mengira batas kaum dan fahaman politik.

“Di bawah program Bakul Prihatin Negara yang baru digerakkan 15 Julai lalu, lebih 60,000 bakul telah diedarkan yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 isi rumah di seluruh negara.

“Hasrat kerajaan tidak lain adalah untuk menolong rakyat yang terkesan akibat pandemik, justeru marilah kita bersama-sama berusaha memulihkan negara,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

Perdana Menteri berkata di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) sahaja sebanyak 500,000 Bakul Makanan telah diedarkan melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Katanya tidak cukup dengan itu, pada 1 Julai lepas, di bawah Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sejumlah RM66.6 juta diperuntukkan untuk Bantuan Bakul Makanan dengan kadar RM300,000 setiap Ahli Parlimen, tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang.

Menerusi hantaran itu juga, Muhyiddin memaklumkan beliau singgah di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Muar, Johor hari ini untuk menyampaikan sumbangan makanan basah dan Bakul Prihatin Negara kepada 50 penghulu kampung di sekitar Pagoh dan Muar.

Sebanyak 1,000 bakul disediakan untuk diedarkan oleh penghulu bersama-sama sukarelawan Skuad Prihatin Negara kepada masyarakat setempat, di samping barangan basah seperti sayuran, ikan dan ayam segar.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mempengerusikan Mesyuarat Kedua Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diadakan hari ini antara lain membincangkan mengenai keperluan sektor perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Mesyuarat secara maya turut membincangkan dengan terperinci dan mengambil kira pelbagai data dan pandangan pakar-pakar kesihatan dan ekonomi berhubung kadar vaksinasi termasuk status vaksinasi individu dan kapasiti unit rawatan rapi (ICU).

Menurut catatan di Facebook Perdana Menteri, ahli-ahli MPN yang hadir ialah bekas Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan pakar penyakit berjangkit Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Pakar lain termasuk bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar; Presiden Persatuan PKS Malaysia Datuk Michael Kang; Prof Madya Dr Sivakumar Thurairajasingam daripada Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan Jeffrey Cheah, Monash University; dan aktivis hak asasi kanak-kanak Datuk Dr Hartini Zainuddin.

Selain itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Penasihat Kumpulan Media Star Datuk Seri Wong Chun Wai.

“Diharapkan agar apa yang dibincang dan disyorkan dalam MPN akan dapat membantu kerajaan dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” menurut catatan berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR