
Penduduk Sungai Baru dalam Kampung Baru tidak berpuas hati dengan notis pengosongan kediaman yang dibuat secara tergesa-gesa.
Penduduk flat Sungai Baru di Kampung Baru yang bakal diusir daripada kediaman mereka merancang akan berkhemah di pekarangan Pejabat Perbadanan Kampong Bharu (PKB).
Seramai 40 keluarga yang tinggal di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyifatkan langkah pengusiran semasa bulan puasa sebagai tidak sensitif dan langkah tersebut diambil sebagai tanda bantahan terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut.
Menurut Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah, langkah untuk berkhemah tersebut sudah dimuktamadkan kumpulan penduduk terbabit susulan notis pengosongan kediaman masing-masing.
“Kita belum membuat apa-apa persediaan mengemas kelengkapan rumah. Tindakan mereka mengusir penduduk dalam bulan puasa sangat tidak wajar dan tidak sensitif.
“Malah, nilai pampasan ditawarkan terlalu rendah iaitu antara RM240,000 hingga RM260,000. Kami mampu beli rumah di lokasi mana di sekitar Kuala Lumpur dengan kadar itu?
“Kami tiada rumah lain untuk didiami dan flat ini dibeli oleh orang tua kami satu ketika dahulu. Bukannya kami tinggal di rumah setinggan, wajarkah kami dilayan seperti ini?” katanya dipetik laporan BH.
Sebelum ini, rancangan pembangunan di Kampung Sungai Baru dilapor membabitkan penduduk di dua jenis kediaman iaitu flat PKNS dan rumah di tanah persendirian, dengan 264 daripada 328 unit adalah flat dan selebihnya rumah teres dianggar berkeluasan 6.8 hektar.
Pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.
Namun, difahamkan 30 peratus penduduk tidak bersetuju dengan pampasan ditawarkan, iaitu RM240,000 hingga RM260,000 bagi unit flat dan kira-kira RM400 sekaki persegi bagi kategori rumah teres.
Nilai berkenaan dikatakan jauh lebih rendah berbanding anggaran jurunilai dilantik pihak penduduk yang menyatakan kadar RM1,500 sekaki persegi untuk tanah sahaja, tidak termasuk bangunan.
Syed Salehuddin turut mempersoalkan tindakan Jabatan Tanah dan Galian (JTG) mengeluarkan notis pengosongan kepada penduduk flet terlebih dahulu tanpa menunggu keseluruhan proses pengambilan tanah di situ selesai.
Ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Khalid Abdul Samad membuat tawaran RM850 + 150 sekaki persegi kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah mereka.
Beliau berjaya mendapat persetujuan sehingga 63 peratus penduduk cadangan pembelian oleh kerajaan ini.
Ketika itu, pembangkang termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk membangunkan Kampung Baru kecuali untuk membina kemudahan orang ramai seperti hospital.