
Bajet 2023 tidak memperuntukkan dana yang mencukupi bagi penyelenggaraan infrastruktur pengangkutan awam, terutama bas henti-henti di luar bandar. - Gambar hiasan
Penyokong industri pengangkutan awam negara memuji pengekalan subsidi kerajaan dalam Bajet 2023 yang dibentangkan semalam, mereka berpendapat lebih banyak dana sepatutnya diperuntukkan bagi keperluan infrastruktur.
Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) Ajit Johl melihat bajet itu komprehensif dalam hal ehwal pengangkutan dan persatuan itu gembira perkhidmatan feri turut diberi perhatian.
Katanya, feri kekal sebagai kaedah pengangkutan yang penting, terutamanya di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Langkawi dan Johor.
Bagaimanapun, beliau berkata bajet berkenaan tidak memperuntukkan dana yang mencukupi bagi penyelenggaraan infrastruktur pengangkutan awam.
“Penyelenggaraan perhentian bas, CCTV dan pencahayaan diperlukan bagi menjamin keselamatan dan menggalakkan orang ramai lebih menggunakan pengangkutan awam.
“Kemudahan di luar bandar perlu diberi penekanan dan dinaik taraf sewajarnya,” katanya menurut FMT.
Bajet 2023 yang dibentangkan semalam mencadangkan peruntukan RM180 juta untuk menambah baik perkhidmatan bas di Melaka, Kedah, Kota Kinabalu dan Kuching.
Perunding pengangkutan Rosli Azad Khan turut menyambut baik bajet itu tetapi mempersoalkan mengapa RM180 juta hanya dikhaskan untuk negeri-negeri tersebut.
“Bandar-bandar lain seperti Johor Bahru, Ipoh, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu turut memerlukan perkhidmatan bas henti-henti kerana tiada pengangkutan awam lain,” katanya.
Di Lembah Klang, katanya, masalah utama pengangkutan awam ialah kekurangan sambungan di permulaan dan penghujung perjalanan.
“Kerajaan harus membenarkan penggunaan kenderaan mobiliti peribadi seperti skuter elektrik,” katanya.
Permit patut dikeluarkan untuk bas mini yang bergerak antara stesen kereta api berhampiran kawasan perumahan, tambahnya.
Rosli berkata, kerajaan perlu mengeluarkan lebih banyak permit bas sekolah, terhad kepada bas mini, van dan MPV, untuk menghantar anak-anak ke sekolah supaya ibu bapa tidak perlu menghabiskan lebih banyak masa di jalan raya, menyebabkan kesesakan.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz turut mengumumkan penerusan pas bulanan My50 RapidKL untuk memberi manfaat kepada 180,000 pengguna.