
Penting untuk dilihat semula pendapatan rakyat bagi memastikan keseimbangan antara pendapatan dan kos sara hidup yang tinggi sekali gus meĀringankan beban.-Gambar hiasan
Bantuan berterusan kepada golongan B40 adalah antara agenda yang diberi keutamaan dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya bantuan jangka pendek, sederhana dan panjang itu bagi membolehkan golongan berkenaan berdepan cabaran getir ekonomi tahun depan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bentuk bantuan itu atau sama ada Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta lain-lain yang diberikan sebelum ini, akan diteruskan atau tidak.
Beliau berkata dalam Bajet 2023 nanti, kerajaan akan memfokuskan kepada kepentingan rakyat, perniagaan, ekonomi dan penyampaian perkhidmatan.
“Kerajaan juga akan memberikan tumpuan keperluan dan bantuan berterusan kepada kumpulan B40 yang dijangka turut berdepan cabaran getir ekonomi pada tahun depan.
“Keperluan golongan B40 akan diteruskan terutama dalam menghadapi isu kos sara hidup tinggi akibat kadar inflasi, gangguan bekalan atau rantaian makanan dan geopolitik.
“Kita akan terus memberi fokus menyalurkan bantuan kepada golongan ini bagi jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Gegar Kerjaya di Stadium Utama Kuala Selangor, hari ini.
Tengku Zafrul berkata 2023 adalah tahun penting untuk Malaysia perlu lebih bersedia melakukan perubahan ke arah lebih baik.
“Umum mengetahui kadar inflasi kita juga masih rendah berbanding negara lain biarpun ada sedikit peningkatan. Unjuran kita pada tahun depan turut bergantung kepada keadaan ekonomi global kelak,” katanya menurut BH.
Beliau berkata, kadar pengangguran negara juga menurun kepada 3.7 peratus setakat ini berbanding 5.3 peratus ketika pandemik Covid-19 pada Mei 2020.
“Ia menunjukkan perkembangan baik selaras keadaan ekonomi yang semakin positif. Selain itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun ini mencatatkan 8.3 peratus dan pertumbuhannya diyakini turut kukuh pada suku ketiga nanti,” katanya.