Bajet 2022 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Sidang Dewan Rakyat hari ini menjadi tumpuan apabila Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2022 jam 4 petang nanti.

Ini adalah belanjawan pertama di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan, dengan tiga matlamat utama, melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

Berdasarkan kenyataan Pra-Bajet pertama dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) pada Ogos, kerajaan akan memastikan belanjawan kali ini bersifat komprehensif dan inklusif, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

Bajet 2022 dijangka memperuntukan sejumlah dana yang terbesar melebihi RM322.5 bilion pada 2021, susulan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Sebagaimana kata Perdana Menteri, Bajet 2022 akan meneruskan usaha memperkasa sistem kesihatan termasuk memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya negara bersedia sekiranya terdapat gelombang baharu pandemik Covid-19.

Beliau berkata, R&D termasuk dalam penghasilan vaksin Covid-19 yang bukan sahaja untuk kegunaan rakyat, malah berpotensi dieksport ke negara yang memerlukan.

Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia, katanya, akan diperkenalkan sebagai hala tuju baharu untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR