Bajet 2022 terbesar dalam sejarah, bernilai RM322.1 bilion

Kerajaan pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan peruntukan terbesar bagi Bajet 2022 dalam sejarah negara yang bernilai RM332.1 bilion.

Bajet 2022 bertema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” yang dibentang Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini lebih tinggi RM10 bilion (8.59%) berbanding belanjawan bagi 2021.

Untuk rekod, Bajet 2021 yang dibentang kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya bernilai RM314.8 bilion (disemak semula).

Pembentangan Bajet kali ini yang kedua oleh kerajaan semasa berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan adalah yang pertama dibawah kerajaan baharu yang dipimpin Ismail Sabri selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bajet 2022 akan menyediakan sejumlah 332.1 bilion ringgit – yang menyaksikan nilai peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini.

“Daripada jumlah tersebut, Kerajaan bercadang untuk menyediakan RM233.5 bilion bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Zafrul juga mengumumkan sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka dan membuat unjuran defisit fiskal 2022 dijangka berkurang kepada 6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 6.5 peratus pada 2021.

Menurut Zafrul, peruntukan Bajet 2022 yang besar kali ini mengambil kira jangkaan peningkatan hasil kerajaan pada 2022.

“Mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli Keluarga Malaysia, disamping jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi tahun 2022 kepada RM234 bilion, kerajaan akan terus menyediakan bajet yang mengembang,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR