Bajet 2022 kesinambungan konsep Prihatin Rakyat: Muhyiddin

Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam menunjukkan komitmen kerajaan yang ada sekarang untuk meneruskan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan, sama ada individu mahupun perniagaan.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin bajet berkenaan dapat memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diumumkan akan sampai kepada kumpulan sasaran, khususnya kepada semua pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri yang melancarkan lapan pakej bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19 sejak Mac 2020 sehingga Julai lalu bernilai lebih RM530 bilion itu, juga yakin Bajet 2022 akan memastikan kejayaan pemulihan untuk Malaysia.

Malah katanya, peruntukan kedua terbesar yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik.

Justeru, katanya penekanan pada sektor kesihatan bukan sahaja mampu menampung fasa endemik, sebaliknya, memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk dari segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran.

“Dengan berpaksikan kepada tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, saya yakin Bajet 2022 akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara yang sedang giat dijalankan.

“Bajet ini akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam dan struktur ekonomi.

“Ini adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikanpula menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid di luar bandar.

“Saya berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru agar semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara dapat berjalan dengan lancar, sekali gus dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

BERITA BERKAIT
POPULAR