Bajet 2022: Kerajaan perlu perkasa pembangunan wanita

October 29, 2021 · Isu semasa

Usaha untuk memperkasakan wanita telah dimaktubkan sebagai sebahagian daripada agenda utama kerajaan sejak pelancaran Pelan Kebangsaan Malaysia pada awal tahun 1980-an lagi.

Komitmen kerajaan terhadap pembangunan wanita di negara ini terus diperkasakan melalui pelan pembangunan yang ditambah baik secara lebih tersasar.

Pada tahun 2004, kerajaan mengumumkan perlaksanaan dasar 30 peratus keterlibatan wanita memegang jawatan kepimpinan utama dan sebagai pembuat keputusan di sektor awam. Pelaksanaan polisi ini menyaksikan penglibatan wanita pada peringkat kepimpinan dan pembuat dasar di sektor awam meningkat kepada 37.6 peratus pada Mei 2019 berbanding dengan 18.8 peratus pada tahun 2004.

Keberkesanan wanita menerajui kepimpinan utama negara membuka mata kerajaan untuk memperluas dasar 30 peratus keterlibatan wanita sebagai pembuat keputusan ke sektor korporat. Ibarat bulan jatuh ke riba, pelancaran polisi ini memberikan impak yang sangat signifikan terhadap keberadaan wanita dalam sektor korporat. Kesannya, penglibatan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di 100 buah syarikat berkaitan dengan kerajaan yang tersenarai di Bursa Malaysia meningkat kepada 26.4 peratus pada tahun 2019 berbanding dengan 19.2 peratus pada tahun 2017.

Dalam pada itu, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016 ‒ 2020 membuka ruang kepada wanita untuk lebih aktif dalam pasaran buruh apabila KPTB wanita dinaikkan kepada 56.5 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan 54.3 peratus (2016).

Kemampuan wanita sebagai pembuat keputusan terbukti apabila semakin banyak wanita menggalas tugas utama kepimpinan negara. Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz ialah satu nama besar dalam bidang ekonomi dan tokoh yang menjadi inspirasi bukan sahaja kepada wanita malahan juga lelaki. Sementara itu, pelantikan Tan Sri Profesor Dr. Mazlan Othman sebagai Pengarah Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB di Vienna, Austria, dari Oktober 1999 hingga Jun 2001 juga membuka mata dunia akan kemampuan wanita Malaysia dalam bidang sains. Nyata sekali, pelantikan ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada wanita, malahan juga kepada Malaysia khususnya.

Di samping itu, statistik JPM juga memperlihatkan Kadar Luar Tenaga Buruh Wanita (4882.5) pada suku tahun pertama tahun 2020 adalah lebih tinggi berbanding dengan lelaki (2280.7).

Istilah Luar Tenaga Buruh merujuk bilangan penduduk yang tidak dikelaskan sebagai bekerja atau menganggur, iaitu suri rumah, pelajar (termasuk mereka yang akan melanjutkan pelajaran), mereka yang telah bersara atau tidak berkeupayaan dan mereka yang tidak berminat untuk mencari pekerjaan.

Persoalannya, mengapakah banyak wanita memilih untuk menjadi suri rumah atau tidak bekerja? Mungkinkah wanita sudah bosan dengan diskriminasi di tempat kerja yang lebih berpihak kepada lelaki sedangkan komitmen yang diberikan adalah lebih tinggi?

Pun begitu, sumbangan wanita sebagai pemain industri dalam pelbagai bidang sememangnya memberikan impak yang besar terhadap pembangunan negara. Bermula dari pasca kemerdekaan hingga era Wawasan 2020, nama wanita Malaysia semakin menyerlah di persada antarabangsa.

Justeru, kerajaan disaran bersikap lebih responsif dan tidak menyisihkan golongan wanita dalam pembentangan Bajet 2022.

Ini kerana, golongan wanita sudah lama tidak diberi perhatian atau ditanyakan khabar ketika dihimpit situasi pandemik Covid-19, jelas Presiden dan Pengasas Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis, Low Ngai Yuen.

“Adakah kita cukup terbela? Kita sememangnya terbela, tetapi adakah kita (golongan wanita) cukup terbela? Belum lagi.

“Jadi, saya masih ingin menyarankan supaya kerajaan melihat belanjawan yang lebih responsif kepada wanita. Wanita memang ketinggalan, terutama disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Jadi untuk memastikan kita merealisasikan konsep Keluarga Malaysia, di mana wanita memainkan peranan yang sangat penting, kita juga mesti melihat daripada segi akses kepada banyak bidang yang sebenarnya wanita hari ini masih lagi belum mencapai secara saksamanya,” ujarnya.

Ngai Yuen turut menegaskan bahawa tiada bezanya di antara kaum lelaki dan wanita kerana mereka juga memerlukan perhatian segera.

“Wanita kehilangan punca pendapatan lebih senang daripada kaum lelaki. Kita juga perlukan perhatian segera dari segi tambahan tanggungjawab kerana ada penjagaan kanak-kanak, ada penjagaan warga emas yang kini diletakkan di atas bahu wanita.

“Dan disebabkan itu, wanita lebih susah untuk keluar mencari kerja dan menambah pendapatan keluarga.

“Kita juga perlu lihat dari segi akses untuk kesihatan dan kesejahteraan wanita tersebut, disebabkan lama kita dalam pandemik dan tidak bertanya khabar atau pun bertanyakan tentang kesejahteraan wanita,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berharap Bajet 2022 yang akan dibentangkan nanti tidak mengetepikan golongan wanita, keluarga dan komuniti rentan selain harus menangani masalah jurang gender yang semakin meruncing dalam masyarakat akibat pandemik Covid-19.

Berikutan itu, WAO menggariskan tiga cadangan yang harus diberi keutamaan oleh kerajaan dalam usaha pemulihan negara.

Cadangan pertama ialah memperkasakan perkhidmatan sokongan sedia ada menerusi belanjawan berkenaan untuk membantu mangsa kes keganasan domestik dan keganasan berdasarkan gender.

“Dalam tempoh dua tahun lalu, kita melihat pelbagai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan rakyat diarahkan duduk di rumah dalam usaha menguruskan pandemik. Ini memburukkan lagi situasi yang membabitkan keganasan domestik dan keganasan berdasarkan gender di seluruh Malaysia,” kata WAO dalam satu kenyataan.

Cadangan kedua adalah pendekatan responsif gender dalam menangani isu pengangguran dan keselamatan pekerjaan.

“Insentif dan subsidi harus disediakan untuk menangani masalah pengambilan yang kurang peka terhadap gender dan sokongan penjagaan anak-anak, merapatkan jurang dalam pengambilan pekerja yang semakin meruncing akibat pandemik,” katanya.

Cadangan terakhir adalah supaya kerajaan melaksanakan perkhidmatan penjagaan mental yang lebih kukuh selain mewujudkan akses dan meningkatkan kesedaran khususnya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

“Kami menggesa kerajaan mempertimbangkan semua cadangan ini bagi memastikan Belanjawan 2022 menyediakan sokongan kepada rakyat yang paling terkesan oleh pandemik,” kata pertubuhan itu.

Berita berkaitan
Lelaki intai wanita di tandas pasar raya ditahan polis
October 23, 2023· Isu semasa
Pemuda MCA gesa kerajaan tangani kos sara hidup, syor perkenal GST
October 21, 2023· Politik
Ditipu pelaburan tak wujud, juruaudit rugi RM1.48 juta
October 12, 2023· Isu semasa
Anggota pukul wanita dalam video tular sedang disiasat polis
September 25, 2023· Isu semasa
Popular
Dr. Sheikh Muszaphar kongsi cara didik anak
October 5, 2021
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024
Semua pihak perlu peka isu buli
December 15, 2021
Selama tiga minggu berturut-turut pelabur asing lari dari Malaysia
March 20, 2023
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok