Badan peguam dibenar jadi ‘amicus curiae’ kes cukai LHDN Najib, anak

Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Badan Peguam Malaysia untuk menjadi ‘amicus curiae’ atau sahabat mahkamah dalam prosiding kebenaran merayu difailkan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin ketika dihubungi pemberita hari ini berkata permohonan Badan Peguam Malaysia itu dibenarkan pada 21 Oktober lalu.

Bernama melaporkan berdasarkan surat bertarikh 13 Oktober yang dihantar kepada Mahkamah Persekutuan, Badan Peguam Malaysia memohon untuk diterima masuk sebagai ‘amicus curiae’ bagi mendengar rayuan itu.

Badan Peguam Malaysia antara lain menyatakan bahawa kes itu melibatkan isu Perlembagaan yang penting iaitu sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 bercanggah atau bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan memohon peguamnya diterima sebagai ‘amicus curiae’ untuk membentangkan hujahan serta pandangan bagi membantu mahkamah mencapai keputusan sewajarnya.

Sementara itu, Wee berkata pada prosiding pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan secara dalam talian hari ini, Timbalan Pendaftar Rasidah Roslee menetapkan 16 Februari 2022 bagi pendengaran permohonan kebenaran merayu oleh bekas perdana menteri dan anaknya.

Najib dan Mohd Nazifuddin memfailkan notis usul ke Mahkamah Persekutuan bagi memperoleh kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, berhubung pembayaran cukai berkenaan.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lalu oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib, menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui Kerajaan Malaysia, turut memfailkan saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019 yang didakwa masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

BERITA BERKAIT
POPULAR