Badan peguam bantah permohonan Laidlaw wakili Najib

June 28, 2022 · Isu semasa

Datuk Seri Najib Razak boleh memilih dalam kalangan 21,659 peguam berpengalaman di Malaysia untuk mewakilinya dalam rayuan terakhir membabitkan kes berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, kata Badan Peguam Malaysia

Setiausahanya B Anand Raj dalam afidavit bantahan yang difailkan semalam berkata peguam Najib ketika ini, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memiliki lebih banyak pengalaman, dan lebih layak berbanding Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja (QC) United Kingdom, yang memohon mewakili Najib.

Anand berkata Muhammad Shafee sendiri memiliki pengetahuan dan berpengalaman luas, kerana dia pernah berhujah dalam banyak kes melibatkan peruntukan undang-undang jenayah, dan pertuduhan yang berkaitan dengan rayuan bekas Perdana Menteri itu, lapor Bernama.

“Berdasarkan kenyataan bahawa Muhammad Shafee serta pasukan pembelaan telah terlibat dengan kes itu, dan sudah biasa dengan pertuduhan serta peruntukan berkanun yang terlibat sejak dari permulaan, Badan Peguam Malaysia berpandangan bahawa Muhammad Shafee sendiri mempunyai pengalaman luas dan kelayakan tinggi berhubung isu yang belum selesai dalam rayuan itu, lebih daripada pemohon (Laidlaw),” katanya.

Anand berkata bahawa hanya pada tahun-tahun awal selepas Malaysia mencapai kemerdekaan daripada UK pada 1957 apabila terdapat bilangan peguam tempatan terhad, yang memerlukan bantuan daripada QC dan pakar asing.

“Hari ini pada tahun 2022, yakni 65 tahun selepas merdeka, Badan Peguam Malaysia telah berkembang dengan hebat, secara kuantitatif dan kualitatif. Kami mempunyai 21,659 peguam bela dan peguam cara yang memiliki Sijil Tahunan dan Amalan yang sah pada 27 Jun 2022.

“Ada ramai peguam bela dan peguam cara yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang litigasi pembelaan jenayah sehingga peringkat rayuan tertinggi. Penelitian terhadap kelayakan dan pengalaman pemohon (Laidlaw) seperti yang dinyatakan dalam afidavit itu (oleh Muhammad Shafee) menunjukkan bahawa beliau adalah QC terkemuka di UK dan mempunyai pengalaman yang pelbagai dan luas dalam pelbagai bidang kuasa.

“Beliau bagaimanapun tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman khas dalam sistem perundangan Malaysia, sistem jenayah Malaysia dan dalam perundangan lain yang berkaitan yang diperlukan untuk rayuan,” katanya.

Anand berkata perkara inilah yang sebenarnya terdapat dalam kalangan peguam bela dan peguam cara peguam jenayah terkemuka di Malaysia.

Beliau seterusnya menambah bahawa Laidlaw tidak menunjukkan beliau biasa dengan statut, amalan dan prosedur tempatan Malaysia yang sedang berkembang, serta sistem perundangannya, 65 tahun selepas Merdeka.

Permohonan untuk mendapatkan khidmat QC akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Julai di hadapan Hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

Pada 25 Jan, firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat kepada Sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib untuk melantik QC bagi membantu beliau dalam isu rumit dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib kerana menyalah guna RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Berita berkaitan
Pengarah urusan syarikat tipu pakej umrah dipenjara 10 tahun
August 9, 2022· Isu semasa
Shahrir bayar penuh beli kereta Honda RM118,485 guna cek: Saksi
August 8, 2022· Isu semasa
Saksi kes Guan Eng akui bayar orang tengah RM19 juta sebab diugut
August 8, 2022· Isu semasa
Saman Muhyiddin: Permohonan injunksi Zahid ditolak mahkamah
August 8, 2022· Politik
Popular
RM93,300 untuk belanja sambutan hari jadi isteri Zahid, kata saksi
August 10, 2022
Model pakai seksi: Kerajaan PAS panggil penganjur minggu fesyen
August 10, 2022
Peguam baharu Najib tarik diri jika kes rayuan diteruskan: Laporan
August 10, 2022
Kajian ubah cuti rehat hujung minggu diserah kepada Sultan Johor
August 10, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Hishammuddin perlu jawab tiga persoalan isu kapal tempur TLDM
2 jam lalu · Isu semasa
Bot karam di Pulau Redang: Tiga nelayan lemas, dua masih hilang
3 jam lalu · Isu semasa
RON97 turun lagi 10 sen
3 jam lalu · Isu semasa
Hishammuddin sokong dedah laporan audit forensik kapal LCS
5 jam lalu · Isu semasa
Saksi beritahu tak siasat VIP lain didakwa terima wang UKSB
5 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Bersatu serah memorandum tubuh RCI siasat projek LCS
7 jam lalu
[FOTO] Dragon Muay Thai gegar Bukit Bintang
August 8, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok