Badan kehakiman lapor polis khabar angin disiar Shahrir Samad – Tok Uban

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan menafikan dakwaan bahawa Ketua Hakim Negara bersubahat untuk mempercepatkan perbicaraan kes rasuah dan mensabitkan kesalahan dua pemimpin UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang tadi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan juga menyifatkan khabar angin itu berniat jahat dan bertujuan untuk ‘subvert’ keadilan.

Sumber dakwaan dipercayai daripada posting yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook bernama Shahrir Samad – Tok Uban.

Pejabat ketua pendaftar berkata ia telah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun, dan menafikan dakwaan bahawa Ketua Hakim Negara telah bertemu dengan ahli politik tertentu untuk membincangkan kes perbicaraan kedua-dua pemimpin UMNO itu, lapor MalayMail.

“Pejabat ini ingin menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan dakwaan itu berniat untuk mencemarkan imej dan menimbulkan ketidakpercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman.

“Selain itu dakwaan ini juga bertujuan untuk ‘subvert’ pentadbiran keadilan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih berjalan dan belum dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Adalah tidak pasti sama ada pemilik akaun itu dikaitkan secara langsung dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Shahrir Samad, namun media lebih kerap merujuk laman itu kepada beliau.

Shahrir turut dibicarakan kerana kes rasuah dan dituduh melakukan salah guna kuasa ketika mengetuai sebuah agensi tanah Persekutuan.

Siaran yang dikaitkan itu dipercayai menjadi punca khabar angin yang sedang tersebar mengenai rancangan peguam negara, Ketua Hakim Negara dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempercepatkan perbicaraan Najib dan Zahid serta menjamin sabitan, sebagai cara untuk mengelak UMNO kembali berkuasa.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat laporan polis berhubung satu artikel mendakwa beliau sedang disiasat kerana wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan hari ini berkata, laporan itu dibuat bagi menafikan tuduhan palsu dan tidak berasas yang berniat menjatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan sebagai hakim selain mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman.

“Pejabat ini memandang serius terhadap tuduhan dan komen seperti ini dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap badan kehakiman bertujuan mengganggu-gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan adalah satu pelanggaran prinsip sub judice.

“Pejabat ini juga menggesa agar pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan segera demi memelihara keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman negara serta memastikan pentadbiran keadilan dapat berjalan dengan baik,” katanya

BERITA BERKAIT
POPULAR