
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Tidak faham alasan penghakiman dalam kes perbicaraan menyebabkan ahli politik dan masyarakat membuat kesimpulan yang salah terhadap sesuatu keputusan diputuskan di mahkamah, kata Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Ketua Hakim Negara yang menjadi tumpuan baru-baru ini selepas mengekalkan sabitan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak dalam kes rasuah dana SRC International Sdn Bhd menyifatkan tindakan segelintir pihak menyerang badan kehakiman susulan keputusan di Mahkamah Persekutuan sebelum ini adalah semata-mata berdasarkan sentimen.
“Pandangan peribadi saya, komen dibuat oleh orang yang tidak faham, yang menunjukkan kurang kefahaman mereka adalah kerana mereka tidak membaca alasan penghakiman.
“Apabila tidak baca, tidak faham. Bila tidak faham, akan membuat komen yang tidak sesuai dan relevan dengan isunya.
“Keseluruhannya bolehlah dikatakan ia berdasarkan sentimen semata-mata tanpa berdasarkan kefahaman tentang undang-undang dan alasan penghakiman itu sendiri. Keputusan mahkamah itu sendiri tidak difahami dengan sebenarnya,” katanya dipetik laporan BH.
Tengku Maimun terdahulu menghadiri Persidangan Litigasi Kebangsaan 2022 Kali Ke-2 anjuran Majlis Peguam Kuala Lumpur hari ini.
Untuk rekod, selepas Najib dihukum penjara 12 tahun, UMNO mengadakan satu perhimpunan raksasa dengan menjadikan badan kehakiman negara sebagai sasaran mereka.
Keputusan di Mahkamah Persekutuan dipertikaikan UMNO, malah sudah ada laporan polis dibuat terhadap Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana kenyataannya boleh dianggap menghina mahkamah.
Ditanya saranan kepada ahli politik dan masyarakat, Tengku Maimun meminta mereka membaca dan memahami sesuatu isu, selain bertanya pada pakar sebelum membuat kesimpulan.
Tegasnya, tindakan membuat kesimpulan dan kenyataan tanpa pemahaman adalah tidak adil dan hanya akan mencetuskan situasi yang huru-hara.
“Jika tidak faham, tanya. Jika sudah baca (alasan penghakiman) dan tidak faham, tanya pada individu yang tepat. Jangan begitu mudah membuat kesimpulan tanpa kefahaman penuh. Ini perkara asas.
“Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan terhadap isu yang kamu tidak faham. Ia akan menyebabkan huru-hara pada semua perkara.
“Jika kamu tidak faham, tiada asas pengetahuan, tidak memahami sepenuhnya, tapi kamu buat kenyataan. Ini tidak betul,” katanya lagi.
Ketika membacakan alasan penghakiman setebal 15 muka surat pada 23 Ogos lalu, Tengku Maimun antara lain memaklumkan mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.
Tengku Maimun ketika itu berkata, pembelaan perayu tidak konsisten dan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan mendapati Mohd Nazlan sudah melakukan analisis yang mendalam terhadap bukti dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah juga mendapati pihak pembelaan tidak pernah benar-benar mempertikaikan mengenai kemasukan dana SRC International berjumlah RM42 juta seperti dipertuduhkan ke atas Najib, dalam akaun bank peribadinya ketika kes itu dibicarakan.
Sebaliknya, bekas perdana menteri itu hanya mencabar elemen mens rea (niat jahat) bagi semua tujuh kesalahan dikenakan ke atasnya dengan menafikan mengetahui dana itu daripada SRC.
Sebelum ini, Majlis Peguam mengutuk tindakan berniat jahat, tidak wajar serta berbentuk ancaman yang dilemparkan terhadap badan kehakiman dan Tengku Maimun serta menyifatkan serangan itu berbaur sentimen antikehakiman dan tidak adil kepada badan kehakiman negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pula sebelum ini mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun.