Azmi dedah Jho Low persoal KPMG berkeras mahu jumpa Najib

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir mendedahkan Low Taek Jho atau Jho Low mempersoalkan firma audit, KPMG yang berkeras mahu berjumpa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Azmi berkata KPMG tidak berpuas hati dan bertegas mahu bertemu dengan Najib yang juga pemegang saham tunggal, ia walaupun pengurusan 1MDB sudah memberi kerjasama berhubung laporan audit syarikat bermasalah itu.

Lantaran itu, ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang juga rakan baik Najib tidak bersetuju dengan permintaan KPMG tersebut.

Azmi juga memberitahu terkejut apabila mendengar permintaan firma audit itu dan bertanyakan mengapa mahu berjumpa Najib.

“Mereka kata mahu mendengar daripada pemegang saham (Najib) bahawa semuanya baik-baik sahaja dan menyatakan jika semuanya dalam keadaan baik, mereka akan menandatangani (penyata kewangan 1MDB),” katanya semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Azmi, selepas panggilan telefon berkenaan, beliau kemudian menghubungi Jho Low untuk memaklumkan mengenai permintaan KPMG di mana Jho Low mempersoalkan mengapa KPMG begitu berkeras untuk bertemu Najib.

Jho Low bertanya mengapa KPMG tetap mahu berjumpa perdana menteri dan tidak boleh menerima maklumat itu yang disediakan oleh pengurusan 1MDB.

“Saya beritahu Jho Low, jika pertemuan dengan Perdana Menteri memuaskan, mereka akan menandatanganinya… Jho Low berkata adakah saya pasti mengenainya, saya jawab ya,” katanya.

Dalam pernyataan saksinya sebelum ini, Azmi berkata susulan itu, satu mesyuarat diadakan di rumah Najib di Langgak Duta pada malam 15 Disember 2013, di mana dalam pertemuan itu, Najib membincangkan perkara yang digariskan oleh Jho Low melalui e-mel dengan dengan wakil KPMG, Datuk Johan Idris.

Azmi berkata, dalam mesyuarat berkenaan, Johan bertanyakan kepada Najib berkenaan pelaburan di Bridge Global Absolute Return Fund SPC dan Najib menjawab bahawa beliau tahu berkenaan pelaburan Brazen Sky Limited di Bridge Global Absolute Return Fund SPC.

Selepas mesyuarat berkenaan, KPMG masih tidak menutup laporan kewangan tahun 2013 kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan dan tidak lama kemudian, KPMG digantikan dengan firma audit Deloitte selepas KPMG ditamatkan kontraknya oleh 1MDB pada akhir tahun 2013.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

BERITA BERKAIT
POPULAR